Sekilas
- Aedy Ashraf menawarkan diri menemani seorang wanita dan anak-anaknya menonton filem TARUNG: Unforgiven selepas wanita itu mengeluh tentang harga tiket pawagam yang mahal.
- Filem aksi ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, dan turut disokong oleh petarung sebenar untuk elemen realistik.
- TARUNG: Unforgiven akan ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara bermula 7 Mei, dengan jelajah peminat bermula 8 Mei di beberapa lokasi.
Pelakon dan penerbit filem TARUNG: Unforgiven, Aedy Ashraf mencuri perhatian ramai apabila menawarkan diri untuk menemani seorang individu menonton filem lakonannya itu.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, seorang wanita meluahkan hasrat untuk membawa anak-anaknya menonton filem tersebut, namun mengakui kekangan harga tiket pawagam yang semakin mahal.

“Aku nak bawa anak-anak aku tengok movie Tarung tapi tu lah, mahal sangat tiket wayang sekarang. Aedy mana Aedy macam mana nak support ni?” tulisnya.
Tidak berdiam diri, Aedy tampil membalas komen tersebut dengan menawarkan diri untuk hadir bersama.
“Kau beli yang tiket biasa kak, bagitahu dekat mana nanti. Saya datang teman. Area KL laa tauu,” balasnya.
Tindakan spontan itu nyata menarik perhatian netizen apabila ramai turut membanjiri ruangan komen dengan permintaan sama untuk ditemani pelakon tersebut.
Filem aksi Tarung: Unforgiven yang tampil dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’ mengangkat naratif berani dengan menjadikan kehidupan sebagai ‘gelanggang’ sebenar.
Karya arahan Razaisyam Rashid itu diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw.
Selain jalan cerita sarat emosi hasil tulisan bersama Amar Amir, kekuatan filem ini turut disokong barisan pelakon berkaliber.
Mierul Aiman tampil sebagai teraju utama, manakala Aedy memperlihatkan sisi lakonan lebih matang menerusi watak kompleks yang dibawakan.
Turut mencuri perhatian, Bront Palarae digandingkan buat pertama kali bersama Zul Ariffin, sekali gus menjadi antara elemen paling dinantikan penonton.
Selain itu, filem ini turut dibintangi Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby dan Wak Ruzaidi.
Tidak ketinggalan, penyertaan petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri turut menambah elemen realistik dalam naskhah tersebut.
Dari sudut muzik, filem ini menampilkan dua runut bunyi eksklusif iaitu lagu Test nyanyian trio Distorted serta Terbang oleh Noh Salleh.
Dalam perkembangan lain, barisan pelakon Tarung: Unforgiven akan turun padang bertemu peminat menerusi siri jelajah bermula 8 Mei ini melibatkan beberapa lokasi di seluruh negara.
Filem ini bakal ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara bermula 7 Mei, manakala tiket awal telah mula dijual sejak 3 Mei lalu.
Mengisahkan Hatta, bekas juara silat yang diburu dosa silam, dia terpaksa menerima tawaran memasuki gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya.
Namun, Hatta tidak menyedari lawan yang bakal dihadapi ialah sahabat lamanya, Isa yang kini menjadi musuh akibat dendam lama.