Sekilas
- Nama restoran Rembayung milik Khairul Aming menjadi perdebatan di media sosial kerana didakwa tidak wujud dalam Kamus Dewan.
- Zhiddin Aziz menegur sikap warganet yang hanya fokus pada nama Rembayung tanpa mengambil kira banyak nama kedai lain yang juga menggunakan ejaan tidak baku.
- Beliau mengingatkan pentingnya memahami lesen artistik bahasa sebelum mengkritik dan menegaskan bahawa kreativiti dalam penjenamaan perlu diberi ruang.
Perdebatan tentang nama restoran Rembayung milik pempengaruh popular Khairul Aming terus hangat dibincangkan di media sosial apabila ada pihak mendakwa perkataan itu tidak wujud dalam Kamus Dewan.
Terpanggil mengulas isu tersebut, personaliti media sosial dan pencinta bahasa, Zhiddin Aziz, tampil menyuarakan pandangan di Threads miliknya, sekali gus menegur sikap segelintir warganet yang hanya memilih satu nama untuk 'diperangi' kononnya atas nama perjuangan bahasa.
Zhiddin mempersoalkan mengapa hanya nama Rembayung dijadikan sasaran, sedangkan banyak nama kedai lain turut menggunakan ejaan tidak baku tanpa pernah menimbulkan kecoh.
“Peliklah, nama Rembayung itu juga yang diriuh-riuhkan, konon tak wujud dalam kamus dewan. Selama ni pergi mana? Kedai ‘satay’ yang ada kesalahan ejaan, sunyi pula lisan. Kedai ‘nasi kandar’, tak pula membetulkan hukum D-M," tulisnya.

Katanya lagi, sikap sebegitu hanya menjadikan seseorang kelihatan seperti 'pejuang bahasa bermusim' yang muncul bukan benar-benar konsisten mempertahankan bahasa Melayu.
“Giliran ‘Rembayung’, tiba jadi pejuang bahasa semalaman. Luculah! Usah lagak bermusim. Kalau benar cinta bahasa, betulkan semua," tambahnya.
Zhiddin turut mengingatkan bahawa sebelum mengkritik, wajar untuk memahami dahulu kaedah dan konsep lesen artistik bahasa yang memberi ruang kepada penggiat kreatif menggunakan nama atau istilah dengan lebih bebas dalam konteks seni dan penjenamaan.
“Sebelum nak betulkan tu juga, belajarlah hukum kata nama dan lesen artistik bahasa," katanya lagi.

Hantaran itu meraih pelbagai komen. Ada yang bersetuju dengan pandangannya, malah ada yang menyindir bahawa nama tersebut mungkin tidak dipertikaikan kalau diubah mengikut trend penjenamaan semasa.
Seorang pengguna, Hanif Ramli, menulis secara seloroh: "Kena letak nama De’Rembayung, Rembayung Bistro, Rembayung Corner kot baru takde isu."
Isu ini tercetus selepas warganet mempersoalkan kewujudan perkataan Rembayung dalam kamus, sekali gus mencetuskan perdebatan tentang sejauh mana bahasa perlu 'dipatenkan' berbanding ruang untuk kreativiti dan identiti jenama, khususnya dalam industri makanan dan gaya hidup.
Buat masa ini, Khairul Aming belum mengulas panjang mengenai perbahasan istilah tersebut, namun restoran Rembayung kekal menarik perhatian bukan sahaja kerana menu, bahkan kerana perbualan tentang nama yang semakin 'viral' di media sosial sejak semalam.