Skip to main content

Hiburan

Papa Zola The Movie Terus Dapat Sambutan! Raih Kutipan RM59.8 Juta Di Malaysia

Papa Zola The Movie

Sekilas

  • Filem Papa Zola The Movie berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM59.8 juta di Malaysia dan Brunei, menjadikan jumlah keseluruhan RM60 juta.
  • Filem ini mendapat sambutan hangat kerana penceritaan yang dekat dengan nilai kekeluargaan dan humor yang menghiburkan pelbagai lapisan usia.
  • Papa Zola The Movie akan ditayangkan di Indonesia mulai Januari 2026 dan di beberapa negara lain seperti India, Vietnam, serta Timur Tengah pada April 2026.

Filem Papa Zola The Movie terus membuktikan kehebatan selepas berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM59.8 juta dalam negara sekaligus mencatat kutipan berjumlah RM60 juta bagi tayangan di Malaysia dan Brunei.

Untuk tahun lalu, dua filem animasi telah ditayangkan dan menyaksikan total kutipan untuk sebanyak RM118.2 juta dengan Papa Zola The Movie (RM59.8 juta) dan Ejen Ali The Movie 2 (RM 58.5 juta).

Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mencerminkan sokongan padu penonton tempatan, malah menjadi simbol kebangkitan animasi Malaysia sebagai penggerak penting dalam industri filem tempatan.  

Dari tayangan hari pertama, Papa Zola The Movie konsisten menarik penonton pelbagai lapisan usia dengan penceritaan yang dekat di hati, elemen kekeluargaan yang kuat serta humor yang menghiburkan.

Lebih membanggakan, Papa Zola The Movie bukan sekadar sebuah hiburan, tetapi turut membawa nilai murni, mesej kekeluargaan dan identiti tempatan yang relevan dengan masyarakat Malaysia

Pencapaian RM60 juta ini dilihat sebagai pemangkin inspirasi kepada penggiat kreatif untuk terus menghasilkan karya berani, segar dan berdaya saing di peringkat lebih luas.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).

Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem Papa Zola The Movie masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung Indonesia bermula 23 Januari 2026.

Filem ini juga akan muncul di layar perak di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

Must-Watch Video

Advertisement