Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie mencatat kutipan lebih RM10 juta selepas lima hari tayangan dan menerima reaksi positif daripada penonton di media sosial.
- Filem ini berjaya menyentuh jiwa penonton dewasa dengan jalan cerita yang dekat dengan realiti kehidupan, terutama bagi figura bapa.
- Papa Zola The Movie kini ditayangkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan akan melangkah ke pasaran antarabangsa mulai Januari 2026 di beberapa negara Asia dan Timur Tengah.
Filem animasi terbitan MONSTA dan Astro Shaw iaitu Papa Zola The Movie mencatat kutipan memberangsangkan apabila meraih lebih RM10 juta selepas hanya empat hari ditayangkan.
Kehebatan filem animasi ini tidak dapat disangkal lagi apabila penonton bukan sahaja membanjiri pawagam malah turut memberikan respon positif terhadap filem tersebut di media sosial.
Ujar mereka, jalan cerita yang dibawa menerusi filem tersebut begitu dekat dengan jiwa masyarakat terutama sekali buat figura yang bergelar bapa.
Ini juga membuktikan bahawa filem animasi yang sebelum ini begitu sinonim dengan jiwa kanak-kanak mampu menyentuh jiwa penonton dewasa.
Menurut pengarah dan penulis, Nizam Abd Razak yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, tiada kata yang boleh diungkap selain ucapan terima kasih yang tak terhingga atas sokongan diberikan penonton.
“Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa Zola The Movie. Kami tidak menyangka sebuah filem animasi Papa Zola The Movie mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton.
“Hasil perkongsian dan reaksi penonton membuktikan bahawa ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan. Kami berharap filem ini membuka ruang baharu untuk animasi tempatan tampil dengan penceritaan yang matang dan bermakna,” ujarnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw iaitu Raja Jastina Raja Arshad menganggap angka kutipan itu sebagai satu penghargaan besar.
“Melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton Papa Zola The Movie merupakan satu penghargaan besar buat kami.
“Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang Kebenaran’ yang memberi sokongan pada filem ini.
“Menjelang cuti sekolah, kami berharap lebih ramai penonton, khususnya seisi keluarga, dapat meluangkan masa ke pawagam untuk menonton filem ini bersama-sama insan tersayang,” katanya.
Selain Malaysia, Papa Zola The Movie ketika ini turut ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Lebih menerujakan, filem animasi tempatan ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.