Sekilas
- Neera Azizi memohon maaf atas video gender reveal yang dirakam di hadapan Kaabah yang menimbulkan kontroversi di media sosial.
- Neera menjelaskan video itu dibuat sebagai tanda syukur tanpa niat lain dan mengakui kaedah perkongsian tersebut boleh disalah tafsir serta kurang beradab.
- Beliau menegaskan kekhilafan itu adalah kesilapan peribadi dan memberi jaminan perkara sama tidak akan berulang, sambil berharap isu ini tidak dipanjangkan lagi.
Pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi, tampil membuat permohonan maaf susulan isu tular berkaitan video gender reveal yang dirakam di hadapan Kaabah.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Neera menjelaskan bahawa rakaman berkenaan dibuat tanpa niat lain selain sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan rezeki daripada Allah SWT.
“Pada awalnya tujuan video tersebut dibuat hanya semata-mata sebagai tanda syukur atas kurniaan anugerah Allah dan tidak ada niat lebih daripada itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Neera mengakui kaedah perkongsian tersebut boleh disalah tafsir dan dilihat kurang beradab, sekali gus menerima segala teguran yang diberikan dengan hati terbuka.
“Tanpa sedar kaedah kami dilihat kurang beradab. Terima kasih atas teguran yang diberikan, apa-apa pun kami terima dengan hati yang terbuka dan kami anggap ia sebagai satu nasihat yang baik,” katanya.
Neera turut menegaskan bahawa kekhilafan tersebut adalah kesilapan dirinya sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain termasuk agensi pelancongan yang terlibat dalam urusan ibadah umrahnya.
“Di sini juga Neera ingin menegaskan isu ini tidak ada berkait dengan mana-mana pihak travel agency. Ini adalah kekhilafan diri sendiri,” ujarnya.
Menurut Neera, dia mengambil iktibar atas kejadian itu dan memberi jaminan perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Insya-Allah kekhilafan ini tidak akan berulang lagi. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan semoga Allah SWT mengampuni dosa setiap daripada kita,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Neera berharap isu berkenaan tidak dipanjangkan dan memohon semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya serta keluarga.
Terdahulu, video gender reveal yang dikongsikan Neera di hadapan Kaabah mencetuskan perdebatan di media sosial apabila ada pihak menganggap tindakan tersebut kurang sesuai dan tidak menghormati kesucian lokasi berkenaan.