Sekilas
- Pelakon Uqasha Senrose mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya, Kamal Adli, sepanjang empat tahun perkahwinan mereka termasuk ketika mengandung dan selepas kelahiran anak.
- Uqasha memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu dan telah membuat empat laporan polis berkaitan penderaan tersebut sejak Disember tahun lalu.
- Prosiding perceraian pasangan ini akan disambung pada 12 Januari depan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pelakon, Uqasha Senrose mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mendorongnya memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, aktor Kamal Adli.
Uqasha, 33, mendakwa penderaan tersebut berlaku sepanjang empat tahun usia perkahwinan mereka, termasuk ketika hamil sehinggalah selepas kelahiran cahaya mata.
“Saya cuba untuk bertahan kalau dia naik tangan, naik kaki, maki, tengking tinggi suara, kasar tolak-tolak badan. Saya boleh terima.
“Tapi bila adanya Uqaira (anak), dia masih juga dengan perangai yang sama. Dalam keadaan mengandung pun dia kasari saya.
“Sampai bila? Daripada mengandung saya kena tolak, sarat hamil tujuh bulan pun kena kena tarik rambut dan macam-macam lagi.
“Kenapa saya minta cerai? Perempuan tak akan minta cerai kalau tiada sebab yang munasabah.
“Kerana pentingkan anak dan kesihatan mentalnya yang masih kecil yang melihat ibunya ditengking, saya teruskan minta cerai,” ujarnya
Uqasha berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding laporan Jawatakankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Uqasha yang ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian menjelaskan keputusan untuk berdiam diri selama ini dan tidak mendedahkan kepada umum berhubung keganasan yang berlaku kerana mahu menjaga aib kedua pihak memandangkan mereka selebriti.
“Saya ada bagitahu keluarganya yang saya dipukul. Keluarganya kata “mungkin ini cara kalian berbahagia.
“Saya ada juga maklumkan kepada ibu mentua, namun dia meminta untuk saya terus bersabar.
“Kenapa saya minta cerai secara baik tapi tak nak selesaikan?
“Saya tak nak bagitahu benda ini (pukul). Kalau ini yang kalian ingin tahu, inilah yang sebenarnya. Saya diam, saya pendam, saya jaga (aib),” katanya
Sementara itu, peguam sivil mewakili Uqasha iaitu Asheeq Ali Seth Alivi memaklumkan anak guammnya sudah membuat empat laporan polis berhubung dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember lalu.
“Arahan yang telah kami terima adalah kita akan teruskan untuk ambil tindakan yang sewajarnya melalui proses PDRM dan juga proses Mahkamah Sivil.
“Untuk pengetahuan pihak media, daripada pihak Uqasha, empat laporan polis telah difailkan. Tiga laporan difailkan oleh Uqasha dan satu oleh ibu Uqasha.
“Semua laporan melibatkan aduan daripada Uqasha bahawa dia telah didera dan dipukul. Dinaik tangan, dinaik kaki. Untuk seterusnya, kita biarkan pihak polis menjalankan siasatan.
“Kepada sesiapa yang tak bersetuju atau tak puas hati, atau mengatakan apa yang Uqasha kata tadi fitnah, mohon failkan saman fitnah terhadap Uqasha, hantar ke pejabat saya,” katanya.
Untuk rekod, mahkamah menetapkan prosiding perceraian di antara pasnagan berkenaan disambung pada 12 Januari depan.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.
Sumber: Oh Bulan