Sekilas
- Pelakon Indonesia Davina Karamoy dikaitkan dengan dakwaan sebagai wanita simpanan bekas Menteri Pemuda dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo, yang tular di media sosial.
- Dakwaan itu termasuk tuduhan perselingkuhan yang diketahui isteri Dito, Niena Kirana Riskyana, yang dikatakan telah memfailkan gugatan cerai dan kes masih dalam perbicaraan mahkamah.
- Davina memberi respons dengan mengaku keliru dan memilih untuk tidak melayan spekulasi, namun bertegas akan ambil tindakan jika fitnah berterusan, manakala Dito belum keluarkan kenyataan rasmi.
Nama pelakon Indonesia, Davina Karamoy menjadi bualan hangat di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan sebagai wanita simpanan kepada bekas Menteri Pemuda dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo.
Isu tersebut tular selepas satu akaun Threads, @chipoy99.chicharitopapoy, memuat naik dakwaan berhubung hubungan sulit antara Davina dan Dito sebelum ia pantas merebak ke pelbagai platform media sosial lain.
“Seorang aktres, kita gelarkan sahaja GEMOY MACCHIATO CARAMEL EXTRASHOT!! (Kurang gula, kurang ais) kini jadi tontonan ramai, kononnya berbakat pelbagai tetapi juga bergelar ‘l*ntepreneur’. Sayang, cantik-cantik kenapa jadi begitu,” tulis pemilik akaun tersebut secara sinis.
Menurut dakwaan sama, hubungan terlarang itu bukan perkara baharu, malah dikatakan telah berlangsung lama dan didakwa diketahui oleh isteri sah Dito, Niena Kirana Riskyana.
“Adakah isteri sah tahu? Mestilah tahu. Kami yang sering melihat adegan itu pun rasa seperti sudah tidak mahu ambil peduli sebab ia bukan perkara penting,” tulis akaun berkenaan lagi.
Malah, akaun itu turut mendakwa Niena telah memfailkan gugatan cerai susulan dakwaan perselingkuhan tersebut dan kes berkenaan difahamkan masih dalam proses perbicaraan di mahkamah tanpa sebarang penyelesaian setakat ini.
Susulan desakan netizen, Davina akhirnya tampil memberikan respons menerusi akaun media sosialnya.
Kata pelakon filem Ipar Adalah Maut itu dia mengaku keliru dengan dakwaan yang tersebut.
“Apa yang perlu dijelaskan? Saya sendiri pun bingung, hahahaha,” tulisnya ringkas.
Pelakon itu turut menegaskan dia memilih untuk tidak terlalu melayan spekulasi dan berusaha menghadapi isu berkenaan dengan fikiran yang tenang.
“Sejujurnya, saya sudah sampai ke tahap melepaskan dan cuba reda sahaja apa sahaja yang mereka mahu cakap atau apa-apa fitnah… walaupun kadang-kadang fitnah itu sudah keterlaluan sampai boleh dijadikan bahan jenaka,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Davina menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya khabar angin tersebut terus berlarutan dan melampaui batas.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Dito Ariotedjo berhubung dakwaan yang tular itu.