Pelakon, Nad Zainal akui tidak malu untuk memakai busana yang murah meskipun bergelar seorang selebriti.
Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, walaupun dia bekerja dalam dunia glamor dia masih perlu menjalani kehidupan seperti wanita biasa yang menguruskan rumah tangga.
“Kenapa perlu saya malu pakai benda yang murah? Saya hanya bekerja sebagai pelakon, saya balik rumah saya hanya Farah Nadia yang perlu urus anak-anak dan suami,” katanya.
Tambah Nad lagi, kecenderungan untuk membeli barangan pada harga mampu milik bukanlah sesuatu yang asing, malah menjadi pilihan ramai tanpa mengira latar belakang pekerjaan atau status.
“Tak kisahlah kerja apa pun, rasanya ramai sahaja suka benda murah, harga promo, sale dan sebagainya,” tambahnya.
Kenyataan tersebut nyata mendapat sokongan dalam kalangan netizen. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan pendirian Nad dan menyifatkan sikapnya sebagai realistik, rendah diri serta dekat dengan kehidupan masyarakat biasa.