Sekilas
- Nabil Ahmad tidak terasa dengan komen netizen mengenai gaya pengacaraannya dalam Gegar Vaganza (GV) selepas 12 tahun bersama program itu.
- Nabil menganggap komen positif atau negatif sebagai tanda rancangan masih diminati dan berusaha memastikan GV kekal relevan dan menarik.
- Gegar Vaganza 12 disiarkan secara langsung setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.
Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad tidak terasa dengan komen yang diberikan netizen mengenai gaya pengacaraannya dalam program popular Gegar Vaganza (GV).
Menurut Nabil, selepas 12 tahun menjadi sebahagian daripada program tersebut, dia sudah terbiasa dengan pelbagai bentuk maklum balas dan menganggapnya sebagai satu bentuk yang positif.
“Alhamdulillah GV dah masuk 12 tahun jadi saya sebenarnya sangat okay dengan apa sahaja jenis komen.
“Pada saya ia adalah satu indication yang memberitahu kepada kita bahawa rancangan ini masih lagi diminati dan ditonton.
“Kami sedang sedaya upaya untuk membuat GV menjadi sebuah rancangan yang masih relevan serta terus diperkatakan.
“Macam saya, sebagai pengacara bersama Sherry dan dibantu oleh Datuk Syafinaz, Datuk Ramli MS dan juga bonda Hetty, kita sama-sama cuba cari pelbagai sudut untuk terus memeriahkan rancangan ini,” ujarnya.
Nabil berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran kempen Ramadan dan Raya Astro bertempat di 20twelve Studio, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambah Nabil lagi, setiap komen yang diterima tidak kira sama ada positif atau negatif, tidak pernah menjatuhkan semangat sebaliknya mengukuhkan minat penonton terhadap program itu
“Jadi segala komen saya terima dengan baik dan positif sebab memang daripada dulu saya rasa bila ada komen komen begitu saya nampak sebagai satu pandangan yang boleh membuatkan orang untuk terus menonton GV.
“Saya ada bersama GV daripada musim pertama jadi ada rasa sentimental value dekat rancangan ini. Apa sahaja yang orang cakap pada saya adalah sesuatu yang sangat berharga untuk saya,” jelasnya.
Gegar Vaganza 12 bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan.
Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.