Sekilas
- Linda Jasmine panik apabila anaknya, Ratu, mengalami demam dan tekanan darah tinggi sebelum membuat persembahan di Talk To My Manager 2.
- Keadaan kesihatan Ratu menjejaskan tenaga persembahannya, namun Linda tetap bangga dengan pencapaian anaknya yang tiada pengalaman besar dalam dunia persembahan.
- Linda masih berbelah bahagi mengenai hala tuju Ratu dalam industri hiburan dan menekankan pentingnya disiplin serta kekuatan mental dan fizikal jika Ratu mahu teruskan karier ini.
Bintang Talk To My Manager 2, Linda Jasmine mengakui panik apabila anaknya, Ratu mengalami demam dan masalah tekanan darah tinggi sebelum membuat persembahan di pentas pertandingan itu.
Menurut Linda, keadaan kesihatan Ratu pada hari persembahan agak membimbangkan sehingga pasukan perubatan terpaksa melakukan pemeriksaan sebaik sahaja tiba di lokasi.
“Dia sebenarnya sakit dan demam. Dia sampai di sini tengah hari manakala saya sampai sebelum rancangan bermula.
“Bila saya sampai mereka kata ‘Ratu demam’. Pasukan perubatan periksa tekanan darahnya pun sangat tinggi, jadi saya panik,” katanya kepada Gempak.
Tambah Linda lagi, faktor kesihatan itu sedikit sebanyak menjejaskan tenaga persembahan anaknya pada malam tersebut.
“Saya rasa persembahannya agak kurang bermaya hari ini sebab tengah demam dan selesema.Perkara itu mungkin menjejaskan persembahannya malam ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Linda tetap berbangga dengan usaha dan pencapaian Ratu yang berjaya melangkah sejauh ini meskipun tidak mempunyai pengalaman besar dalam dunia persembahan.
“Saya sangat bangga dia berjaya sampai ke tahap ini. Saya pun tak sangka sebab dia tiada pengalaman. Dia bukan penyanyi, tak pernah buat persembahan besar macam ini. Dia cuma pernah buat satu atau dua persembahan di sekolah tarian.
“Saya rasa bagi seseorang yang tiada pengalaman atau latihan, dia melakukan tugas yang cukup baik,” katanya.
Dalam masa sama, Linda mengakui dirinya masih berbelah bahagi mengenai hala tuju sebenar yang terbaik buat anaknya selepas ini.
Tambah Linda lagi, sekiranya Ratu benar-benar mahu meneruskan perjalanan dalam industri hiburan, disiplin serta kekuatan mental dan fizikal adalah perkara paling penting.
“Saya berbelah bahagi. Sebenarnya saya belum pasti apa yang terbaik buatnya sekarang.
“Saya kena fikir masak-masak apa yang terbaik buatnya. Saya perlu bincang dengannya apa yang dia benar-benar mahu lakukan.Jika dia pilih jalan ini, dia kena sedar dia perlu sangat berdisiplin dan bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Saya tak boleh pimpin tangan dia selamanya,” katanya lagi.