Sekilas
- Mek Yun menyokong pihak majikan selepas meneliti video penuh kes pembantu rumah yang didakwa mendera anak majikan.
- Beliau mengutuk tindakan pembantu rumah yang mendera anak-anak dan menegaskan mangsa sebenar adalah anak-anak tersebut.
- Mek Yun menasihati orang ramai supaya tidak cepat menghukum tanpa mengetahui cerita sebenar dan menolak tindakan merakam serta memuat naik video penderaan itu di media sosial.
Pempengaruh media sosial, Mek Yun meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi segelintir pihak yang dilihat seakan kecewa mengenai isu tular membabitkan seorang pembantu rumah yang didakwa didera oleh majikannya.
Menerusi Threads, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Mun Nee tanpa berselindung menyatakan pendiriannya menyebelahi pihak majikan selepas meneliti perkara sebenar serta video yang dikongsikan.
“Kes pembantu rumah kena pukul itu, jujur saya di pihak majikan. Pelik bila ada yang buta-buta sokong pembantu rumah tanpa tengok video penuh,” katanya.
Ujar Mek Yun, tindakan pembantu rumah yang didakwa telah mendera anak kepada majikan adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan.
Walau bagaimanapun, pempengaruh berusia 29 tahun ini tidak menyokong tindakan tindakan majikan yang merakam serta memuat naik video mereka memukul pembantu rumah tersebut di media sosial.
“Tengoklah macam mana anak-anak itu kena dera. Mangsa sebenar ialah anak-anak, bukan pembantu rumah itu.
“Ya, rakam dan muat naik video itu memang tak patut. Tapi isu dera budak ini bukan perkara kecil,” kongsinya.
Menerusi hantaran yang dibuat, Mek Yun turut memuat naik video rakaman CCTV memaparkan beberapa anak kecil yang dipercayai didera pembantu rumah.
Sementara itu, Mek Yun juga menasihati orang ramai untuk tidak terlalu cepat menghukum atau membuat sebarang spekulasi tanpa mengetahui cerita sebenar.
“Tengok dulu video penuh sebelum buat kesimpulan. Jangan sampai kita nampak buruk sangat di mata orang luar.
“Kalau jadi dekat anak kita, tentu kita pun naik angin. Jadi jangan tengok sebelah pihak saja," kongsinya lagi.
Terdahulu, dua pasangan suami isteri dilaporkan telah ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes memukul pembantu rumah wanga Indonesia di kediaman mereka pada malam Sabtu.
Keempat-empat suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport.
Sumber: Threads