Sekilas
- Pelakon Mak Jah berkongsi bahawa perkahwinannya berlaku bukan atas kerelaan sendiri, sebaliknya atas kehendak keluarga tanpa mengenali suaminya.
- Beliau mengalami tempoh 15 tahun hidup dalam keadaan 'gantung tak bertali' dan terpaksa bekerja sebagai jurusolek demi menyara anak-anak.
- Mak Jah juga mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga pengsan, dan anak lelakinya pernah mempertahankannya daripada suami tersebut.
Pelakon, Mak Jah berkongsi kisah pahit yang dihadapi sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga.
Menerusi perkongsian Suhan Channel Official di TikTok, Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad memaklumkan bahawa perkahwinannya berlaku bukan atas kerelaan dirinya sendiri.
“Saya kahwin bukan dengan reda saya. Ia atas kehendak keluarga. Saya tak boleh nak cakap apa. Tak ada tempat untuk saya lari dah.
"Saya terpaksalah menikah malam itu. Saya tak kenal dia pun. Mak saudara saya yang jodohkan kami.
"Saya tak tengok pun orangnya, tak tahu pun macam mana rupanya. Ada keluarga bagi gambar tapi saya tak tengok,” kongsinya.
Dakwa Mak Jah, dia seakan digantung tak bertali selama 15 tahun namun terpaksa bertahan kerana tidak mampu melakukan apa-apa.
Ujar pelakon berusia 76 tahun itu, dia juga terpaksa bekerja sebagai seorang jurusolek demi kelangsungan hidup anak-anak.
“Hampir 15 tahun saya ini gantung tak bertali. Waktu itu umur saya dalam lingkungan 30-an. Nak buat laporan pun tak ada duit.
“Saya cari rezeki dengan jadi mekap artis. Saya cari duit untuk bagi anak sekolah, bagi anak makan.
“Kalau dia balik saya selalu larikan diri, tak mahu bertembung dengan dia. Dia tak ada bagi duit belanja, macam mana saya nak makan?,” katanya.
Dalam pada itu, Mak Jah turut mendakwa bahawa dia pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga pengsan sebelum anak lelakinya mempertahankannya.
“Kalau duit dia, duit dia. Duit kita pun duit dia juga. Kalau tak bagi, dia mencuri. Kalau tak dapat curi, dia akan pukul sampaikan anak saya yang sulung melawan dan pukul dia balik.
“Saya tak sedar sebab saya pengsan. Daripada situlah saya nekad yang saya tak akan balik semula kepada dia, tak nak jumpa dan tak nak dengar pun nama dia lagi,” ujarnya.
Sumber: TikTok Suhan Channel Official