Sejak kebelakangan ini, nama pelakon Razzuan Rosli mula mendapat perhatian ramai selepas tular kebolehannya bertutur dalam bahasa Cina dengan baik sewaktu meniaga.
Menurut Razzuan, dia mula bertutur dalam bahasa Cina sejak aktif berniaga bagi memudahkan urusan perniagaan.
“Baru je, baru empat, lima bulan yang lepas. Tapi dulu saya bersekolah Cinalah, cuma praktikkan ni baru empat, lima bulan lepaslah.
“Saya meniaga di kawasan Cina. Jadi untuk memudahkan transaksi jual beli tu, saya menggunakan bahasa yang orang mudah fahamlah. Sebab kebanyakan pelanggan saya memang Cina, jadi kita guna bahasa Cinalah,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Razzuan mengakui ramai masyarakat Cina yang membeli dengannya terkejut dan kagum dengan kebolehannya bertutur namun dia memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka kerana menghormati privasi pelanggan.
“Eh banyak je. Cuma untuk saya kongsi apa yang saya rasa saya boleh kongsikan dekat umum. Kalau sedikit privasi untuk pelanggan saya, saya tak kongsilah sebab itu orang punya privasi kan.
“Kalau saya rasa benda tu general dan sesuai untuk umum, saya kongsi. Supaya tak mengacau pelanggan-pelanggan saya punya privasi. Sebab ada separuh yang tak suka direkod, ada separuh yang okey untuk berkongsi. Jadi saya pilihlah konten yang saya rasa sesuai,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia sentiasa memaklumkan kepada pelanggan sekiranya ingin merakam video sebagai langkah menghormati mereka.
“Tapi biasanya memang saya akan beritahu kalau saya rakam. Saya akan cakap, ‘Tak apa, saya beritahu di situ saya ada rekod.’ Jadi mereka fahamlah,” tambahnya.