Sekilas
- Pengacara Hana Ismail mengumumkan keputusan untuk berehat panjang dari dunia pengacaraan demi memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak yang masih kecil.
- Keputusan ini dibuat selepas nasihat suaminya, pendakwah selebriti Da’i Syed, supaya Hana tumpu perhatian kepada keluarga dan perniagaannya.
- Hana mungkin akan kembali ke dunia seni selepas anak-anaknya membesar dan mampu menjaga diri sendiri.
Pengacara Hana Ismail membuat keputusan untuk berhenti berehat dari dunia pengacaraan buat sementara waktu.
Menurut Hana, keputusan itu dibuat selepas suaminya iaitu pendakwah selebriti, Da’i Syed menasihatinya agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
“Sebenarnya, saya nak beritahu mungkin saya akan berehat untuk masa yang lama selepas ini dan tidak akan lagi mengambil kerja sebagai pengacara.
“Hari ini (Sabtu) adalah hari terakhir saya sebab nak fokus kepada keluarga. Anak-anak saya pun masih kecil jadi, suami pun nasihat lebih baik fokus kepada baby dan perniagaan saya,” katanya kepada Gempak.
Hana berkata demikian ketika ditemui pada majlis ilmu, Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya di MATRADE, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hana merupakan moderator untuk majlis ilmu tersebut yang turut dihadiri oleh pendakwah terkenal Indonesia iaitu Ustaz Irfan Rizky.
Dalam pada itu, Hana memberitahu dia mungkin akan kembali ke dunia seni selepas anak-anak sudah membesar dan mampu menjaga diri sendiri.
“Berat untuk saya buat keputusan ini sebab mengacara adalah perkara yang saya suka. Saya suka pergi majlis ilmu dan mengacarakan majlis ilmu.
“Tapi saya rasa ada ganjaran lebih besar sekiranya saya fokus kepada keluarga,” ujarnya.
Untuk rekod, Hana dan Syed mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan anak perempuan, Sharifah Fatma Nour Jamalullail dan anak lelaki yang lahir pada Oktober lalu.