Hampir sebulan tidak bertemu sejak 27 September lalu, pelakon Kamal Adli meluahkan rasa rindu terhadap isterinya yang juga aktres, Uqasha Senrose.
Malah Kamal turut mendedahkan komunikasi antara mereka juga disekat termasuk melalui panggilan telefon dan media sosial.
Advertisement
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus terang saya sangat merindui isteri saya. Agak lama jugalah iaitu sejak dia menyekat saya di telefon dan media sosial,” katanya kepada Gempak.
Kamal berkata demikian ketika ditemui selepas sesi prosiding kedua tuntutan perceraian yang difailkan oleh Uqasha terhadapnya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam pada itu, pelakon Dia Imamku itu turut menegaskan bahawa tiada sebarang kecurangan berlaku di pihaknya, malah menolak dakwaan wujudnya orang ketiga sebagai punca pergolakan hubungan mereka.
Malah Kamal juga menolak dakwaan tuduhan bahawa dia melakukan kekasaran terhadap isterinya.
“Paling penting, saya nak beritahu di sini, saya tak curang. Saya tak ada orang lain. Saya tak ada sesiapa saja. Saya hanya ada dia (isteri) dan anak saya sahaja, okey?.
"Itu dakwaan sahaja, bukan? Tak payahlah. Buktikanlah, tak payah benda-benda macam itu. Itu kes dalam kain, apa-apa semua, janganlah buat itu. Saya sayang dia. Okey, itu sahaja yang paling penting," ujarnya.
Terdahulu, prosiding perceraian antara Uqasha Senrose dan Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa terpaksa ditangguhkan selepas peguam yang mewakili pihak aktres itu dilaporkan menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Menurut peguam syarie Kamal Adli, iaitu Abdul Hadi Mohammad Salleh, prosiding berlangsung secara sebelah pihak memandangkan tiada wakil baharu hadir bagi pihak Uqasha.
Rumah tangga pasangan selebriti itu mula menjadi perhatian selepas dikatakan bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira.