Skip to main content

Berita Tempatan

Girl Group Inferno3 Lancar Lagu Pertama Berjudul 'Money', Kolaborasi Bersama Shiha Zikir - "Bukan Mudah Nak Ada Kumpulan Pandai Menari & Menyanyi"

inferno3

Sekilas

  • Inferno3, kumpulan gadis baharu beranggotakan Hannis, Hannah, dan Eva, melancarkan single pertama mereka berjudul 'Money' dengan kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Malaysia.
  • Lagu 'Money' mengangkat tema realiti kehidupan berkaitan keperluan wang, manakala video muziknya menampilkan tarian dan nyanyian yang dipersembahkan oleh Inferno3 bersama Shiha Zikir.
  • Shiha Zikir menekankan fokus kumpulan ini bukan untuk bersaing, tetapi untuk memberi pengaruh positif kepada remaja sambil mengekalkan prestasi akademik yang baik.

Industri muzik tanah air kini menyambut satu lagi kemunculan kumpulan gadis baharu atau girl group dikenali sebagai Inferno3 yang bukan sahaja boleh menari, malah memiliki vokal nyanyian yang baik. 

Dianggotai oleh Hannis, 17, Hannah, 15, dan Eva, 17, ketiga-tiga mereka tampil dengan keyakinan tinggi serta bersedia untuk menghiburkan orang ramai, khususnya golongan remaja.

Menurut Hannis, dia sangat bersyukur dan menghargai peluang yang diberikan oleh syarikat rakaman serta pengurusan Shiha Zikir Empire kepada mereka bertiga.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama ini. Lagu ini bertambah istimewa kerana kami dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha. Bukan semua orang dapat peluang ini. Kak Shiha seorang selebriti multi-talented, siapa saja yang tak kenal beliau,” katanya.

Hannah pula menyifatkan Inferno3 amat bertuah dapat bekerjasama dengan artis berpengalaman seperti Shiha Zikir.

“Memang Inferno3 bertuah kerana Kak Shiha seorang artis yang sudah lama dalam industri dan banyak tunjuk ajar yang dikongsi kepada kami,” ujarnya.

Sementara itu, Eva berharap agar Inferno3 dapat melangkah lebih jauh dalam dunia muzik Malaysia.

“Saya rasa sangat teruja, pada masa sama masih gementar kerana Kak Shiha bukan sahaja menyanyi bersama kami, malah turut menari bersama kami dalam video muzik lagu Money. Memang rasa sangat dihargai apabila artis senior seperti beliau sudi berkolaborasi dengan kami. Saya harap dengan peluang yang Kak Shiha beri ini, kami dapat teroka lebih banyak perkara dalam industri seni,” jelasnya.

Lagu Money merupakan hasil kolaborasi Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia. Ketiga-tiga anggota Inferno3 mempunyai interpretasi yang sama terhadap lagu tersebut, iaitu berkisarkan tentang realiti kehidupan di mana semua manusia memerlukan wang untuk meneruskan hidup tanpa mengira usia.

Sebelum lagu Money dirakam, Shiha Zikir mengadakan beberapa sesi latihan sehingga yakin bahawa Inferno3 sudah bersedia.

“Sebelum ini kami bertiga biasa menari, nyanyian adalah perkara baharu untuk kami. Jadi setiap momen latihan hingga rakaman mempunyai keistimewaan tersendiri. Sepanjang tempoh mengajar kami, Kak Shiha tak garang, cuma beliau tegas dan seorang perfectionist terutama dari segi konsep dan vibe lagu ini,” kata Eva.

Hannis pula berkongsi pengalaman penggambaran video muzik pertama mereka.

“Pertama kali rakam video muzik memang seronok dan mencabar kerana lokasi penggambaran diadakan di sebuah bangunan terbiar. Kami sangat menjaga keselamatan, walaupun ada rasa takut, tetapi tetap seronok,” katanya.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada koreografer yang terlibat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada koreografer Ezra Tham kerana mengajar tarian kami dengan penuh dedikasi untuk video muzik lagu Money. Kami mengambil masa tiga hingga empat hari untuk berlatih sebelum penggambaran. Cara Abang Ezra mengajar sangat mudah difahami dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Shiha Zikir pula melihat Inferno3 sebagai pendatang baharu yang berpotensi besar memandangkan usia mereka yang masih muda serta pengalaman dalam bidang tarian.

“Bukan mudah untuk kita ada sebuah kumpulan yang pandai menari dan pada masa sama boleh menyanyi. Inferno3 ini asalnya penari, jadi dari segi tarian memang tiada masalah. Untuk nyanyian pula, kami mengambil masa beberapa tahun sebelum mengeluarkan single ini kerana saya mahu mereka benar-benar bersedia dalam semua aspek,” katanya.

Shiha turut menekankan bahawa fokus Shiha Zikir Empire bukan untuk bersaing dengan kumpulan lain, sebaliknya membentuk pengaruh positif dalam kalangan remaja. Menurutnya, walaupun anggota Inferno3 aktif dalam bidang seni, mereka tidak mengetepikan pelajaran dan masih mengekalkan prestasi akademik yang baik, selari dengan syarat yang ditetapkan oleh ibu bapa masing-masing.

Mengulas lanjut, Shiha mendedahkan bahawa lagu Money pada asalnya dicipta untuk dinyanyikan secara solo olehnya, namun kemudian diberikan kepada Inferno3.

“Apabila saya menerima lagu ini daripada Iqie Hugh, tambahan pula lagu ini digubah oleh Iqie, John Jeeves dan Firdaus Rahmat, saya sangat sukakan bunyi lagu ini. Pada awalnya ia dicipta untuk saya seorang, tetapi kemudian saya fikir lagu ini sesuai dinyanyikan bersama Inferno3. Saya minta beberapa bahagian ditambah seperti dance break untuk menonjolkan tarian mereka,” jelasnya.

Shiha berharap lagu Money dapat memberi semangat kepada pendengar dan pada masa sama menyokong perkembangan muzik tempatan.

“Harapan saya, semoga peminat muzik di Malaysia bukan sahaja menyokong K-Pop, tetapi turut memberi sokongan kepada M-Pop,” katanya.

Lagu Money telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 9 Januari 2026. Video muzik rasmi turut dimuat naik di saluran YouTube Shiha Zikir Empire.

Must-Watch Video

Advertisement