Penyanyi dan vokalis Sakura Band, Mell, menganggap penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) sebagai peluang terbaik untuk menghidupkan semula nama kumpulan itu di persada muzik tanah air.
Menurut Mell, peluang beraksi di pentas GV12 bukan sahaja membuka ruang untuk menunjukkan bakat, tetapi juga menjadi medan menimba ilmu daripada barisan bintang yang lebih berpengalaman.
Advertisement
“Bagi saya ini adalah peluang yang baik sebab saya boleh belajar daripada mereka yang lebih senior, banyak ilmu yang saya boleh dapat.
“Saya melihat mereka sebagai satu sumber rujukan untuk saya,” katanya ketika ditemui Gempak.
Mengakui berasa sedikit gementar kerana bersaing dengan penyanyi-penyanyi ternama, Mell tetap melihat penyertaannya sebagai satu langkah berani dan bermakna buat dirinya serta Sakura Band.
Malah, Mell juga bersyukur kerana penyertaannya di GV12 datang pada waktu yang tepat ketika Sakura Band sedang dalam proses merakamkan album pertama mereka selepas sekian lama.
“Sudah tentu saya gementar sebab yang memasuki Gegar Vaganza ini semuanya nama-nama besar, saya ini apalah sangat.
“Sebenarnya Sakura Band nak buat comeback jadi pada saya dengan memasuki GV12 ini juga umpama suratan takdir.
“Sukura Band sedang dalam proses rakaman untuk membuat album pertama kami jadi pada saya apabila dilamar untuk memasuki GV12 ini merupakan satu peluang yang baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mell berkata pentas GV12 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform terbaik untuk memperkenalkan semula Sakura Band kepada khalayak ramai.
“Platform terbaik untuk memberi pendedahan bahawa Sakura Band akan buat comeback tahun hadapan.
“Anggota kumpulan Sakura Band juga turut memberikan sokongan pada saya untuk masuk GV12. Mereka melihat GV ini sebagai peluang untuk kami ‘expose’ kan band ini kepada orang ramai,” ujarnya.
Selain Mell, 12 lagi bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra dan Freshies (Ejie dan Shima).
Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.
Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini juga masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.