Sekilas
- Fatin Afeefa berkongsi pengalaman susah payahnya sebagai ibu tunggal yang bekerja keras dengan tidur hanya 3-4 jam sehari untuk menyara dua anak hasil perkahwinan terdahulu.
- Dia menekankan pentingnya mengutamakan anak-anak dan bersyukur kerana rezeki akhirnya mencurah selepas tempoh sukar itu.
- Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz dan kini sudah berkahwin dengan pempengaruh Aliff Awang, serta mempunyai seorang anak bersama suami baru.
Pelakon, Fatin Afeefa berkongsi jerih perih yang pernah dilaluinya sewaktu bergelar ibu tunggal beberapa tahun yang lalu.
Menerusi Threads, pemilik nama Fatin Nur Afifah Shamsudin ini memaklumkan dia hanya tidur kurang empat jam sehari kerana melakukan beberapa kerja demi untuk menyara dua anaknya hasil perkahwinan terdulu iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.
“Buat multiple jobs, tidur 3–4 jam je sehari dulu. Alhamdulillah awal-awal je catu makanan kongsi bertiga, lepas tu rezeki mencurah sampai sekarang.
“Dahulukan anak-anak, you akan nampak, hidup tak akan rasa kurang,” kongsinya.
Fatin berkongsi perkara tersebut menerusi ruangan komen terhadap hantaran yang dibuat seorang individu.
Menerusi ciapan yang dibuat, individu itu bertanyakan bagaimana seorang ibu tunggal meneruskan kehidupan tanpa nafkah daripada bekas suami.
“Saya ibu kepada dua orang anak, macam mana korang survive tanpa nafkah dari bekas suami?,” tanya individu tersebut.

Untuk rekod, Fatin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Adam Shahz pada 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Mereka walau bagaimanapun bercerai pada 2017 sebelum Fatin mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh dan usahawan iaitu Aliff Awang yang turut dikenali sebagai Opai pada 30 Disember 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Muhammad Jibril.
Sumber: Threads