Sekilas
- Allahyarham Dharma Harun ditawarkan berlakon secara tidak dirancang selepas hadir menemani anaknya, Muhammad Al Syafiq, ke sesi uji bakat filem Felai Fx: Apa Mau Takut.
- Richard Ung dan pengarah Zamri Zakaria melihat Dharma masih bertenaga dan sesuai memegang watak ketua sindiket dalam filem tersebut yang dirakam pada tahun 2024.
- Filem ini merupakan lakonan terakhir Dharma sebelum meninggal dunia pada 25 November lalu dan akan ditayangkan mulai 30 April ini.
Penerbit filem Felai Fx: Apa Mau Takut, Richard Ung bersama pengarahnya, Zamri Zakaria memaklumkan bahawa tawaran berlakon yang diberikan kepada Allahyarham Dharma Harun sebenarnya berlaku secara tidak dirancang.
Berkongsi lanjut mengenai perkara tersebut, Richard berkata ketika itu Dharma hadir ke sesi uji bakat bagi menemani anaknya, Muhammad Al Syafiq.
Namun, kehadiran pelakon legenda itu menarik perhatian mereka apabila dilihat masih bertenaga dan sesuai untuk kembali ke layar perak.
"Waktu itu dia belum ada masalah kesihatan lagi. Dia datang untuk uji bakat Syafiq. Saya cadangkan kepada pengarah bahawa Dharma ini masih "solid" untuk jadi ketua sindiket atau ketua kelab trader itu.
"Dia memang sihat waktu itu. Memang watak itu agak kena dengan Dharma dan dia bawa watak Rudi dengan baik," katanya.
Richard berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Doa Selamat bagi meraikan Tayangan Filem Felai Fx serta tahlil buat Allahyarham Dharma yang berlangsung di Masjid Al Mustaqim Ampang, pada Khamis.
Dalam pada itu, Syafiq juga memaklumkan penggambaran filem ini dibuat pada 2024 dimana ayahnya ketika itu masih sihat dan boleh bermain keyboard.
“Walaupun kami berada dalam satu filem namun saya tak dapat berlakon satu frame dengan ayah sebab saya muncul dalam babak flashback.
“Manakala ayah pula watak di zaman sekarang. Tetapi kira dapat jugalah peluang satu filem bersamanya,” ujarnya.
Untuk info, Filem yang akan ditayangkan bermula 30 April ini adalah lakonan terakhir Dharma sebelum meninggal dunia pada 25 November lalu.