Sekilas
- Pelakon Fahmi Bo dan bekas isterinya, Nita Anita Khairiyah, telah berkahwin semula secara sederhana di Jakarta Barat selepas bercerai pada 2020.
- Fahmi menyerahkan cincin mas kahwin seberat 2.1 gram dan mereka akan tinggal bersama di rumah sewa sebelum mencari kediaman baru yang sesuai untuk keluarga mereka.
- Fahmi kini lebih bersemangat menjalani hidup bersama keluarga, manakala Nita pernah menjaga Fahmi ketika dia sakit dan tidak dapat bergerak.
Pelakon Fahmi Bo dan bekas isterinya, Nita Anita Khairiyah selamat berkahwin buat kali kedua seperti yang diumumkan sebelum ini.
Pasangan tersebut menikah semula selepas bercerai pada tahun 2020 dengan sangat sederhana. Majlis pernikahan berlangsung di rumah sewa yang didiami Fahmi di kawasan Jakarta Barat, Indonesia, pada Ahad.
Fahmi dilihat memberi sebentuk cincin dengan berat 2.1 gram kepada Nita sebagai mas kahwin, lapor Kompas.
Mereka juga akan tingal bersama di rumah sewa tersebut sebelum mencari kediaman dengan dua bilik kerana Nita yang pernah berkahwin dengan lelaki lain memiliki anak kecil.
Menurut Fahmi, selepas membina semula rumah tangga dengan Nita, dia kini lebih bersemangat untuk hidup.
“Sekarang sudah ada keluarga semula, tidak lagi sendiri. Jadi mahu fokus terhadap keluarga meski belum mampu bekerja,” katanya.
Terdahulu pemain sinetron yang menjadi tular kerana perubahan tubuh badan selepas jatuh sakit itu mendedahkan Nita adalah individu yang selalu datang menguruskan dirinya yang tidak dapat bergerak.
Wanita yang pernah dinikahi selama 21 tahun itu malah menangis bercerita tentang kemuliaan hati bekas isterinya yang sanggup menukar pampers dan mencuci najisnya.