Sekilas
- Pelakon Ezaidi Aziz mula mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan selepas diajak rakan artis Harris Annuar menyertai jemaah Tabligh tiga tahun lalu.
- Pengalaman bersama jemaah tersebut membantu Ezaidi memperbaiki amalan ibadah dan memberikan kesan positif dalam kehidupannya dari sudut agama.
- Ezaidi berkongsi perubahan niatnya yang mula menjauhi gaya hidup keterlaluan seperti memuat naik gambar tanpa baju dan kini lebih fokus memperbaiki diri secara sederhana.
Pelakon Ezaidi Aziz berkongsi pengalaman peribadi apabila mula mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan selepas diajak rakan artis, Harris Annuar, untuk menyertai jemaah Tabligh kira-kira tiga tahun lalu.
Menurut Ezaidi, keputusan untuk menyertai jemaah tersebut dibuat atas niat untuk belajar dan memperbaiki diri tanpa sebarang paksaan.
“Harris yang mula ajak dan tiba-tiba saya rasa macam okey, kenapa tidak pergi. Pergi pun dengan niat nak belajar sahaja,” katanya.
Pelakon itu mengakui pengalaman tersebut memberikan kesan positif dalam kehidupannya, terutama dari sudut keagamaan.
“Alhamdulillah, pengalaman itu memang best. Banyak benda yang saya belajar dan banyak perkara yang boleh diperbaiki dari segi agama,” ujarnya.
Tambah Ezaidi, penyertaan dalam jemaah itu turut membantunya memperbetulkan amalan ibadah yang sebelum ini kurang sempurna.
“Sebab kita pun bukan pandai sangat, solat pun kadang-kadang tak betul. Jadi bila dah join, alhamdulillah, jadi okey sikit. Kita betulkan apa yang kurang,” jelasnya.
Mengulas mengenai titik perubahan yang mendorong dirinya untuk menyertai aktiviti tersebut, Ezaidi berkongsi ketika itu dia terlalu fokus membina tubuh badan sehingga kerap memuat naik gambar yang dirasakan keterlaluan.
“Ada satu masa itu saya rasa tiba-tiba niat macam berubah. Sebelum ini selalu ada post tak pakai baju, tayang badan. Itu dulu.
“Tiba-tiba ada rasa macam, eh tak betul ni. Jadi saya tanya Harris, saya cakap dekat dia, saya rasa dah tak nak post macam ni lagi,” ujarnya.
Ezaidi bagaimanapun menegaskan perubahan yang dilaluinya bukan bersifat keterlaluan, sebaliknya lebih kepada usaha memperbaiki diri secara sederhana.
“Dia terkejut, tertanya-tanya kenapa tiba-tiba berubah. Dari situ dia ajak saya.
“Tak adalah berubah terlalu ekstrem. Cuma mungkin sebelum ini terlalu over,” katanya.