Sekilas
- Emma Maembong tetap meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama bekas suaminya demi memastikan anak-anak tidak rasa perubahan dalam suasana keluarga mereka.
- Dia mengekalkan rutin ziarah ke rumah keluarga bekas suami supaya anak-anak membesar dengan memori keluarga yang positif walaupun ibu bapa sudah berpisah.
- Pengalaman membesar dalam keluarga berpisah membuatkan Emma bertekad untuk beri anak-anaknya kenangan keluarga lengkap setiap tahun tanpa perlu gambar berasingan.
Meskipun sudah tidak bersama sebagai suami isteri, pelakon Emma Maembong tetap meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar demi kebahagian anak-anak.
Menurut Emma, setiap kali raya dia akan tetap menziarahi keluarga bekas suami seperti biasa kerana tidak mahu anak-anak merasakan sebarang perubahan dalam suasana keluarga mereka.
“Walaupun kami sudah tidak bersama, setiap kali raya saya tetap pergi beraya ke rumah bekas suami. Saya akan pergi salam keluarga dia semua sebab itu juga keluarga anak-anak saya.
“Saya tak nak anak-anak rasa ada benda yang berubah. Biasanya saya akan pergi rumah ayah dulu, kemudian rumah mama, selepas itu rumah bekas suami. Kadang-kadang rumah bekas suami dulu, kemudian baru rumah ayah dan mama. Kami akan pusing macam itu,” katanya kepada Gempak.
Tambah Emma, dia sengaja mengekalkan rutin tersebut supaya anak-anak membesar dengan memori keluarga yang positif walaupun ibu bapa mereka tidak lagi bersama.
Menurutnya, perkara itu penting untuk perkembangan emosi dan mental anak-anak.
“Memori anak-anak ketika membesar itu penting. Saya tak nak ada satu perkara pun yang berubah hanya kerana ibu bapa sudah tidak bersama.
“Sebab itu kalau orang nampak kami masih ambil gambar raya bersama, sebenarnya bagi saya tak ada masalah pun. Tak perlu ada gambar berasingan. Biar anak-anak ada sekurang-kurangnya satu gambar keluarga yang lengkap setiap tahun. Walaupun kami sudah tak bersama, untuk anak-anak itu sangat penting," jelasnya.
Emma turut berkongsi bahawa keputusannya melakukan perkara tersebut banyak dipengaruhi oleh pengalaman masa kecilnya sendiri yang membesar dalam keluarga berpisah.
Menurutnya, dia memahami perasaan seorang anak yang terpaksa berpindah-randah antara rumah ibu dan bapa ketika hari raya.
“Saya sendiri membesar dalam keluarga yang berpisah. Saya faham perasaan bila pagi raya di rumah mama, kemudian kena tukar baju dan pergi ke rumah ayah pula. Sebagai anak kecil, sebenarnya ia agak sedih. Kita teringin juga nak ada gambar keluarga lengkap dengan mama dan ayah.
“Saya pernah belajar melukis semata-mata nak lukis gambar mama, ayah dan adik-beradik sekali dalam satu gambar. Sekarang dengan teknologi, saya pernah juga tempah gambar keluarga menggunakan AI untuk letak dalam satu frame besar di rumah. Tapi hakikatnya gambar itu tak pernah wujud,” kongsinya.
Justeru, Emma bertekad untuk tidak mengulangi pengalaman sama kepada anak-anaknya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana bekas suaminya serta keluarga bekas mentua sangat memahami dan masih menerima dirinya dengan baik.