Sekilas
- Liza Hanim anggap sikap melindungi anak sulungnya, Marsya Qistina, adalah naluri semula jadi seorang ibu dan bukan tindakan berlebihan.
- Beliau percaya setiap ibu mempunyai perasaan untuk melindungi anak dan ini tidak bermakna memanjakan sehingga menghalang kemandirian anak.
- Liza juga sedang belajar memberi ruang kepada Marsya sambil mengekalkan naluri ibu yang sentiasa mahu melindungi anaknya.
Penyanyi, Liza Hanim tidak melihat sikapnya yang sering dikatakan terlalu melindungi (over protective) anak sulungnya, Marsya Qistina sebagai satu tindakan berlebihan.
Sebaliknya kata Liza, ia merupakan naluri semulajadi seorang wanita yang bergelar ibu.
Menurut Liza, setiap ibu pasti mempunyai perasaan untuk melindungi anak-anak mereka dan perkara itu tidak seharusnya disalahertikan oleh sesetengah pihak.
“Mungkin ada yang tidak memahami perasaan itu. Pada saya, setiap ibu pasti mempunyai perasaan yang sama.
“Jadi apabila ada yang mengatakan saya bersikap sedemikian kerana diri saya sendiri, saya rasa mungkin mereka bukan ibu bapa atau belum pernah melalui situasi seperti ini,” katanya.
Liza berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media single sulung Marsya berjudul Siapa Diriku di Semesta Event Space, pada Isnin.
Tambah Liza lagi, naluri untuk melindungi anak-anak akan sentiasa wujud dalam diri seorang ibu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Sebagai seorang ibu, perasaan itu memang akan sentiasa ada. Perasaan untuk melindungi anak-anak tidak akan hilang.
“Anak-anak perlu tahu bahawa akan sentiasa ada seseorang yang menyokong dan membantu mereka apabila diperlukan.
“Bukan bermaksud kita memanjakan mereka sehingga tidak mampu berdikari. Anak saya seorang yang sangat berdikari dan matang untuk usianya.
“Tetapi mereka perlu sentiasa mempunyai keyakinan bahawa apa sahaja yang berlaku, mereka boleh pulang ke rumah dan berada dalam keadaan selamat. Itulah yang paling penting.
“Saya percaya semua ibu mempunyai perasaan seperti itu. Alhamdulillah, anak saya seorang yang kuat dan tahu bagaimana untuk menguruskan kehidupannya sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Liza juga mengakui dirinya masih belajar untuk membiasakan diri dengan memberi banyak ruang kepada anaknya dan proses itu memerlukan masa dan pemahaman yang mendalam sebagai seorang ibu.
“Dalam masa sama, saya juga belajar untuk lebih bertenang dan memberi ruang kepadanya.
“Saya tidak pernah menganggap kerana sudah lama berada dalam industri, maka semua orang perlu menerima pandangan saya.
“Saya juga perlu berubah dan belajar dari semasa ke semasa. Namun, sebagai seorang ibu, naluri untuk melindungi anak-anak tetap ada.
“Apabila melibatkan anak, sudah tentu kita akan menjadi seperti ‘singa betina’ yang mempertahankan anaknya. Itu perkara yang normal bagi seorang ibu,” tegasnnya.
Terdahulu, terdapat segelintir netizen mendakwa Liza terlalu melindungi Marsya sehingga dianggap menjadi antara faktor yang membataskan perkembangan kerjaya seni penyanyi muda itu.