Sekilas
- Personaliti media sosial Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam, mengalami detik cemas apabila anak kedua mereka, Rian, tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
- Ryzal berkongsi pengalaman menakutkan itu di media sosial, di mana Rian tiba-tiba diam dan tidak memberi respon selepas menangis kuat.
- Ryzal dan Maryam segera membawa Rian ke kecemasan, dan pengikut mereka mendoakan agar Rian tidak mengalami kecederaan serius.
Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam berdepan detik cemas apabila anak kedua mereka, Rian tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ryzal mengakui insiden tersebut menjadi antara pengalaman paling menakutkan yang pernah dilalui sebagai seorang bapa.
Menurut Ryzal, sebaik sahaja terjatuh, Rian pada mulanya menangis dengan kuat sebelum tiba-tiba diam dan menutup mata tanpa memberikan sebarang respon.
“Gugur jantung kami melihat anak sendiri tak sedarkan diri lepas jatuh katil. Kuat dia menangis lepas tu diam dan tutup mata seolah tidur, tiada respon dan kita terus bawa ke kecemasan.
“Saya dan Maryam berusaha tak nak bagi Rian lelap sepanjang jalan ke Emergency tapi badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ryzal mengakui dia berasa hiba melihat isterinya berulang kali memanggil nama anak mereka yang ketika itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Ya Allah sakitnya melihat isteri jerit nama anak yang kami besarkan kaku, sungguh tiada kata dapat digambarkan.
“Berharap, bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah S.W.T. supaya berikan kami peluang untuk melihat anak kami sedar ya Allah,” tulisnya.
Hantaran itu juga turut disertakan dengan video merakamkan Maryam yang kelihatan panik menepuk-nepuk anaknya kerana tidak mahu Rian tertidur.
Bagaimanapun, Ryzal belum lagi memberikan perkembangan terkini mengenai Rian selepas dibawa berjumpa doktor.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata pengikutnya mendoakan agar Rian tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk.
Sumber: Instagram @ryzalibrhm