Skip to main content

Hiburan

“Bukan Tak Nak, Tapi Saya Jumpa Orang Mengarut…” — Pernah Rancang Hijrah Ke Mekah, Zul Ariffin Batalkan Niat

fthfh

Pelakon Zul Ariffin membatalkan hasratnya untuk berhijrah ke Mekah bagi menguruskan urusan perniagaan yang pernah dirancang sebelum ini.

Menurut Zul, 39, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan tidak berjalan seperti dirancang, selain enggan terus bekerjasama dengan individu yang disifatkan sebagai ‘mengajukan perkara mengarut’.

Advertisement

“Kadang-kadang kita bersembang, kita rancang, kita gembira, kita kongsi dan kalau tak jadi, nak buat macam mana.

“Kita pun kadang-kadang jumpa orang mengarut yang Allah bagi. Jadi saya padam saja niat itu dan tolak tepi sebab tak mahu bekerjasama dengan orang mengarut. Itu saja,” katanya.

Zul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbaharunya Malam Terlarang di GSC Mid Valley, malam tadi.

Tambah Zul, ketika membuat perancangan tersebut, dia dalam keadaan sangat teruja kerana pernah beberapa kali menetap di Tanah Suci.

“Saya rasa ketika itu saya tengah gembira selain pernah duduk sana pun beberapa kali. Paling lama sampai tiga bulan.

“Rasanya itu (tinggal di Mekah) adalah hajat semua orang,” katanya.

Pelakon filem Sheriff itu sebelum ini pernah memaklumkan tentang rancangan berhijrah ke Mekah bagi menguruskan perniagaan mesin layan diri yang dijalankan secara usaha sama dengan sebuah syarikat di Singapura.

Namun begitu, buat masa ini fokusnya hanya pada dunia lakonan yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak lebih dua dekad lalu.

“Ini adalah padang saya dan saya gembira di sini. Dari umur 21 tahun saya berlakon.

“Untuk saya lepaskan fokus di sini atau mahu ke sana, perkara itu memerlukan sesuatu yang benar-benar meyakinkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zul kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.

Filem tersebut bakal mula menghantui penonton bermula 30 Oktober ini. 

Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement