Sekilas
- Pelakon Aprena Manrose menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini tanpa pasangan selepas mengesahkan perceraian pada Jun lalu.
- Aprena sudah mula membiasakan diri beraya seorang sejak tahun lalu dan memilih untuk fokus kepada keluarga sendiri sahaja.
- Walaupun ada perbezaan, Aprena tetap positif dan berseloroh tentang masa depan jodohnya.
Pelakon, Aprena Manrose mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza apabila dia menyambutnya tanpa pasangan.
Bagaimanapun, menurut Aprena situasi itu tidak begitu janggal baginya memandangkan dia sudah mula membiasakan diri sejak tahun lalu.
"Alhamdulillah, sebenarnya tak adalah first time pun, tahun lepas pun memang dah raya seorang. jadi tahun lepas tu dah macam practice. Saya dah biasakan diri, cuma tak tahu yang akan betul-betul raya seorang.
"Tapi saya okay sahaja, saya ada ayah saya. Tahun lepas kami beraya di Indonesia cuma tahun ini kita pilih untuk beraya di KL and then plan dengan family Uqasha semua, Nely semua, raya kedua kita akan pergi Kelantan," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Aprena akui meskipun sudah terbiasa namun perbezaan itu tetap dirasainya.
Jelas Aprena, sebelum ini dia seorang yang sangat mementingkan keluarga dan sering menjadi individu yang merancang pelbagai perkara berkaitan sambutan Hari Raya.
“Memang ada rasa beza tu. Saya ni jenis yang sangat family oriented. Biasanya saya yang akan fikir nak balik raya di mana, baju raya macam mana dan nak pergi jalan-jalan ke mana.
“Tapi kali ini saya tak perlu fikir semua itu. Saya hanya fokus kepada diri saya dan keluarga saya sahaja,” jelasnya.
Walaupun melalui perubahan dalam kehidupan peribadi, Aprena memilih untuk melihat segala yang berlaku dari sudut yang lebih positif.
Malah, dia sempat berseloroh memikirkan tentang jodoh pada masa hadapan.
“Tak ada rasa sedih sangat. Cuma memang ada rasa sedikit berbeza sebab dulu ada keluarga di sana.
“Tapi sekarang lebih fokus kepada keluarga saya sendiri. Malah kadang-kadang terfikir juga, siapalah bakal suami saya selepas ini,” katanya berseloroh.
Pada Jun lalu, Aprena mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman.
Keretakan rumah tangga Aprena kerap menjadi bahan bualan ramai terutama selepas mereka dilihat tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu bersama.
Mereka juga dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing. Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016.