Sekilas
- Yuna menyeru syarikat besar supaya menghargai bakat artis dengan tidak menawarkan bayaran yang terlalu rendah atau separuh daripada kadar yang diminta.
- Beliau menegaskan bahawa alasan pendedahan atau promosi tidak boleh dijadikan pengganti bayaran yang sewajarnya, terutama apabila syarikat tersebut menjana keuntungan besar.
- Yuna turut berkongsi pengalaman lebih 20 tahun dalam industri muzik antarabangsa dan menegaskan pentingnya bayaran setimpal untuk dirinya dan pasukannya.
Penyanyi, Yuna tampil menitipkan pesanan kepada syarikat-syarikat besar agar lebih menghargai bakat dan hasil kerja artis dengan tidak menawarkan bayaran yang terlalu rendah.
Menerusi perkongsian dalam Threads, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, sesebuah syarikat sepatutnya menghormati nilai seni yang dibina seseorang artis sepanjang kerjaya mereka.
“Hai syarikat-syarikat besar, saya cakap ini dengan penuh kasih sayang dan hormat. Mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti menawarkan bayaran rendah kepada artis atau hanya menawarkan separuh daripada kadar yang mereka minta.
“Untuk menghasilkan sesuatu karya, seseorang artis menghabiskan seluruh hidup mereka menyempurnakan bakat tersebut. Anda mampu membayar bakat berkualiti dan profesionalisme,” tulisnya.

Menerusi hantaran lain dalam Instagram, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu turut meluahkan rasa kecewa apabila masih ada pihak yang cuba menggunakan alasan pendedahan atau promosi sebagai ganti kepada bayaran yang sewajarnya.
“‘Ini pendedahan yang bagus untuk awak.’
“‘Boleh tak kita bayar separuh sahaja?’
“Dengan penuh hormat, jika syarikat anda menjana keuntungan berjuta-juta atau berbilion-bilion setahun, saya perlu beritahu bahawa saya telah menghabiskan lebih 20 tahun menyempurnakan karya, persembahan, membina pasukan dan komuniti peminat yang berkualiti di Asia, Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut Yuna, dia juga tidak boleh menerima bayaran yang lebih rendah kerana perlu memastikan pasukan yang bekerja bersamanya menerima bayaran setimpal.
“Saya tidak boleh menerima separuh daripada kadar bayaran saya kerana saya juga tidak boleh membayar pasukan saya separuh daripada kadar mereka.
“Jadi melainkan kerja itu melibatkan saya meluangkan masa berkualiti dengan orang yang saya sayang, bayarlah mengikut kadar saya,” katanya.
Dalam masa sama, Yuna turut menyenaraikan 17 persembahan yang pernah dijayakannya di pelbagai lokasi antarabangsa termasuk London, Berlin, Jerman, Los Angeles dan beberapa bandar utama lain sebagai bukti perjalanan seni yang dibina selama lebih dua dekad.
Untuk rekod, Yuna merupakan antara penyanyi Malaysia paling berjaya di peringkat antarabangsa dengan karya-karyanya mendapat pengiktirafan di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.