Sekilas
- Apple Martin, anak Gwyneth Paltrow dan Chris Martin, kini menceburi bidang lakonan selepas pernah menjadi model dan muncul dalam muzik video.
- Apple terlibat dalam sebuah filem besar Hollywood yang menampilkan pelakon terkenal seperti Penélope Cruz dan Jude Law.
- Pelantikan Apple dalam filem tersebut mendapat kritikan netizen yang menuduhnya mendapat peluang kerana status 'nepo baby'.
Memperoleh kelulusan dalam bidang guaman, anak gadis Gwyneth Paltrow hasil perkahwinan bersama bekas suaminya, Chris Martin, Apple Martin memilih untuk ‘terjun’ ke industri hiburan secara profesional.
Selepas pernah terlibat sebagai model dan pengisi wajah muzik video, Apple mengambil langkah lebih besar apabila membuat debut dalam dunia lakonan.
Apple, 22, dilaporkan terlibat dalam filem yang dibarisi bintang gred A Hollywood. Mereka termasuk Tony Hale, Beverly D’Angelo, Penélope Cruz, Jude Law, Owen Wilson, Kieran Culkin dan Erin Doherty, lapor Page Six.

Martin yang juga merupakan vokalis Coldplay turut berkongsi keterujaan mengenai langkah baharu anaknya menjadi bintang filem di Insta Story di Instagram.
Menerusi temu bual sebelum ini, Apple mengaku tidak suka mengikut arus dan kuat memberontak.
“Saya pemberontak tidak seperti ibu dan bapa saya. Saya suka menari dan berlakon. Impian saya adalah menjadi pelakon.
Namun khabar Apple bakal menjadi pelakon dalam sebuah projek mega tersebut disambut negatif oleh pengguna media sosial. Kebanyakan peminat menyifatkan pemilihan Apple dalam filem arahan Nancy Meyer itu sebagai tidak sesuai.
Apple mendapat peluang berlakon kerana disifatkan sebagai hasil nepo baby atau istilah untuk anak ibu dan bapa berpengaruh atau terkenal.
“Penat melihat budaya nepo baby,” tulis seorang pengguna media sosial sebelum yang lain menulis: “Seronok memiliki ibu yang terkenal.”
“Seorang lagi nepo tanpa pengalaman berlakon,” tulis yang lain.