Sekilas
- Amir Nafis lebih utamakan keselesaan berbanding harga ketika memilih baju raya supaya mudah bergerak sepanjang hari raya.
- Walaupun setuju samping ‘instant’ kurangkan nilai kemelayuan, Amir anggap ia memudahkan dan sesuai ikut situasi.
- Amir bakal muncul dalam filem terbaru bertajuk Malaikat Malam yang akan ditayangkan pada 26 Mac ini.
Pelakon, Amir Nafis mengambil pendekatan untuk tidak terlalu cerewet dalam membeli busana raya malah, tidak kisah sekiranya baju raya tersebut dibeli dengan harga yang rendah.
Menurut Amir, soal harga bukanlah perkara utama, sebaliknya keselesaan menjadi keutamaan agar mudah untuknya bergerak sepanjang hari raya.
“Bila bercakap soal persiapan untuk membeli baju raya, saya seorang yang tidak mementingkan harga. Asalkan baju yang dibeli itu selesa, sudah mencukupi.
“Saya lebih memilih keselesaan supaya senang untuk bergerak sebab hari raya kita akan ada banyak pergerakkan. Saya memang tak kisah soal harga,” katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai penggunaan samping ‘instant’ yang didakwa menghilangkan nilai kemelayuan oleh sesetengah pihak, Amir mengakui dia bersetuju dengan pendapat tersebut namun beranggapan adalah tidak salah sekiranya ia dapat memudahkan orang ramai.
“Saya setuju sekiranya ada pihak yang berpendapat penggunaan samping ‘instant’ itu sedikit sebanya menghilangkan idetiti kemelayuan tetapi inovasi seperti itu juga tidak salah kalau ia memudahkan semua orang.
“Sebenarnya, saya gemar memakai samping tradisional tetapi bergantung juga kepada situasi.
“Kalau situasi itu memerlukan saya bersiap dengan cepat seperti untuk menghadiri majlis, saya lebih memilih untuk menggunakan samping instant. Semuanya bergantung kepada situasi,” kongsinya.
Dalam perkembangan terbaharu, Amir bakal tampil menerusi filem yang bakal ditayangkan pada 26 Mac ini yang bertajuk Malaikat Malam.
Selain Amir, filem yang mendapat sentuhan pengarah muda Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Tracie Sinidol dan ramai lagi.