Sekilas
- Madam Mariyah mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas kontraktor pejabat Auramaria di Johor gagal menyiapkan kerja seperti dipersetujui.
- Walaupun sudah membayar RM215,000, kontraktor tersebut hanya melaksanakan kerja bernilai sekitar RM100,000 dan kemudian menghilangkan diri.
- Madam Mariyah membatalkan niat untuk mengambil tindakan undang-undang atas dasar persahabatan dan memilih untuk memaafkan perkara itu.
Usahawan sensasi, Madam Mariyah berkongsi dirinya mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas kontraktor yang dilantik bagi menyiapkan pejabat baharu Auramaria di Johor didakwa gagal melaksanakan kerja seperti dipersetujui.
Menurut Madam Mariyah atau nama sebenarnya Mariyah Yaakob, 51, dia bagaimanapun enggan melabelkan perkara itu sebagai satu bentuk penipuan meskipun jumlah bayaran yang telah dibuat mencecah RM215,000.
“Nak kata ditipu itu, buruk sangat. Namun saya sudah buat bayaran sebanyak RM215,000 tapi dia tidak buat kerja mengikut kehendak.
“Apabila panggil syarikat lain untuk semak kualiti, dia kata nilai yang dibayar tidak berbaloi dengan apa yang dibuat dan kos dibelanjakan hanya sekitar RM100,000.
“Dia menghantar surat penarikan diri dan kemudiannya menghilangkan diri,” katanya kepada Gempak.
Mariyah memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada majlis pembukaan Ibu Pejabat Auramaria pada Ahad lalu.
Menurutnya, dia pada awalnya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang namun membatalkan hasrat tersebut atas dasar persahabatan dan rasa simpati.
“Awalnya memang nak saman dan sudah jumpa peguam, tapi bila fikir yang dia ini kawan dan ibu tunggal serta niat nak bantu dia, saya tak ambil tindakan (saman) itu.
“Lebih baik serahkan kepada Allah sahaja. Saya juga sudah halalkan sebab tidak mahu jadi penyebab lambat masuk ke syurga. Saya percaya jika hilang RM100,000 nanti akan diganti dengan RM100 juta,” ujarnya.