Sekilas
- Pelakon Azar Azmi telah dibebaskan polis selepas direman dalam siasatan kes penipuan jualan tanah dan urusan darjah kebesaran bernilai RM1.5 juta.
- Azar menafikan tuduhan tersebut dan berkongsi bahawa dia bertahan dalam rumah tangga demi anak-anak walaupun menghadapi cabaran peribadi.
- Suaminya, Mohd Apri Hazreen, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penipuan dan dibenarkan jaminan dengan syarat tertentu oleh mahkamah.
Pelakon Azar Azmi akhirnya tampil bersuara setelah dibebaskan oleh pihak polis selepas direman bagi membantu siasatan kes penipuan perjualan tanah kurnia melibatkan kerugian RM1.5 juta dan urusan darjah kebesaran.
Mengakui sudah berasa lelah dengan kehidupannya, Azar menerusi temu bual sebuah program hiburan menegaskan dia tidak melakukan perkara yang didakwa itu.
“Aku penat sebenarnya hidup. Yang aku rasa macam ‘dah la that is it, hidup aku dah tak ada la’. Kalau aku buat benda tu, aku puas hati. Nak tangkap aku, kau ambil.
“Okey, aku dah habis enjoy dah benda-benda tu semua. Tapi masalahnya dah la kesilapan aku sebab terlalu percaya kepada orang,” katanya.
Ditanya mengenai perkahwinannya, Azar berkata dia hanya bertahan dalam rumah tangganya demi anak-anak biarpun mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia.
“Saya tak tahulah, tapi kalau nak bandingkan dengan pasangan-pasangan lain, saya tengok… saya jenis yang, saya rasa saya lebih kepada menjaga anak-anak.
“Sebab itu lah juga saya bertahan. Sebab saya mengimpikan satu keluarga yang saya tak nak fail, biarlah sampai mati. Tapi saya tak sangka benda jadi macam ni,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim memberitahu pelakon usia 35 tahun itu dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kedua-dua kes.
Dalam prosiding yang berlangsung suaminya Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd. Apri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.
Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isteri beserta syarat tambahan.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 sebelum Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan sebutan semula pada 15 April.