Sekilas
- Sheila Rusly berkongsi pengalaman beraya di rumah anak saudaranya yang baru berpindah dan menggunakan pinggan plastik kerana kelengkapan belum mencukupi.
- Sheila mempersoalkan mengapa penggunaan pinggan pakai buang ketika rumah terbuka menjadi isu dalam masyarakat.
- Warganet menyokong penggunaan pinggan pakai buang sebagai pilihan praktikal terutama untuk jamuan dengan tetamu ramai.
Musim rumah terbuka Aidilfitri masih berlangsung meriah, dan pelakon serta penerbit terkenal, Sheila Rusly, turut berkongsi momen sambutan raya di kediaman anak saudaranya baru-baru ini.
Apa yang mencuri perhatian adalah penggunaan pinggan plastik ketika jamuan tersebut, memandangkan tuan rumah baru sahaja berpindah dan belum mempunyai kelengkapan yang mencukupi.
“Sajer bagitahu.. semalam beraya rumah 'anak fruit' (anak saudara) kita makan guna pinggan plastic sebab baru pindah rumah pinggan tak cukup. Sis ok jer.. tak mencacatkan rasa nasi lemak yang sedap giler ni,” tulisnya di Threads.
Sheila bagaimanapun mempersoalkan mengapa isu penggunaan pinggan pakai buang ketika rumah terbuka boleh menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat.
“Tak faham kenapa open house guna pinggan plastic boleh jadi isu. Yang penting kita nak present set pinggan mangkuk untuk 'anak fruit' kita. Sekian,” tambahnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-rata berpendapat penggunaan pinggan pakai buang adalah sesuatu yang praktikal, terutama apabila melibatkan jumlah tetamu yang ramai.
“Pada akhirnya pinggan apapun kita pakai, makanan apapun kita makan atau segala apapun yang digunakan atas dunia ni, tetaplah pulang sana akhir nanti cuma bekal amal sahajalah yang membezakan kita tuan-tuan,” tulis @ana_kefli.
“Kalau tuan rumah tak cukup kakitangan pun memang kena guna pinggan pakai buang, walaupun ada pinggan mahal penuh almari. Takde orang nak tolong basuh pinggan nanti. Tuan rumah pun segan nak bagi tetamu masuk dapur basuh pinggan sendiri,” komen @diari_ummi26.
“Tak larat nak basuh kalau pinggan kaca. Tetamu bukan 10 orang, cecah 50-100 orang. Ada yang mudah, kenapa nak susahkan,” tulis @amirahshahida.
Terdahulu, pengacara Fedtri Yahya turut tampil memberi teguran terhadap satu hantaran tular yang mengkritik tuan rumah yang menggunakan pinggan pakai buang, malah melabel mereka sebagai pemalas.