Sekilas
- Penyanyi Aina Abdul menjawab komen negatif yang mengatakan lagu rayanya, Ya Habibi Ya Aidilfitri, gagal.
- Aina berkongsi statistik sambutan lagu tersebut dengan hampir 500,000 tontonan di YouTube dan 100,000 strim di Spotify dalam masa seminggu.
- Dia jarang membalas komen negatif tetapi memilih untuk bersuara kerana merasakan dakwaan itu tidak adil.
Penyanyi Aina Abdul tampil memberi respons terhadap satu komen negatif yang melabelkan lagu rayanya, Ya Habibi Ya Aidilfitri, sebagai tidak berjaya.
Isu itu timbul selepas seorang pengguna media sosial, @kazenotsubaki, meninggalkan pandangan ringkas tetapi pedas.
“Masalahnya lagu ini gagal,” tulisnya.
Tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani menjelaskan bahawa lagu berkenaan sebenarnya menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pendengar.
“Hampir 500,000 tontonan dalam Youtube (dalam satu minggu), 100,000 strim dalam Spotify dan masih berterusan. Gagal ke macam ini?” tulisnya menerusi Instastory.

Dalam masa sama, Aina mengakui dia jarang memberi maklum balas terhadap komen berunsur negatif, namun kali ini memilih untuk bersuara kerana merasakan kenyataan tersebut tidak adil.
“Saya selalunya tidak balas komen yang berbaur kebencian. Tapi kali ini saya kena bersuara kerana merasakan ia tidak adil.
“Saya harap dan doakan anda berada di tempat paling bahagia sekarang, siapa pun anda yang menulis komen ini,” ujarnya.