Sekilas
- Pelakon Sandra Dewi kini menanggung kesan jenayah kolar putih yang dilakukan suaminya, Harvey Moeis, yang dipenjara 20 tahun atas kes rasuah dan penggubahan wang haram di Indonesia.
- Aset mewah suami Sandra termasuk dua Ferrari, Porsche, Mercedes-Benz, Mini Cooper dan barangan berjenama milik Sandra sedang dilelong oleh Badan Pemulihan Aset Kejaksaan Agung.
- Antara barangan dilelong adalah 84 beg berjenama mewah serta barang kemas seperti rantai emas 18 karat bertatah berlian dan gelang emas serta perak dengan inisial Sandra.
Pelakon Sandra Dewi kini sedang menanggung kesan daripada jenayah kolar putih yang dilakukan suaminya, Harvey Moeis pada tahun lalu.
Harvey ditangkap dan kini dipenjara selama 20 tahun di Lapas Cibinong selepas bersalah atas kes rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan kerugian negara bernilai trilion rupiah dalam kes komoditi perlombongan timah di Indonesia.
Kini, saat suaminya masih meringkuk di penjara, aset Harvey termasuk kenderaan mewah iaitu dua buah Ferrari berwarna merah, Porsche merah dan kelabu, Mercedes-Benz kelabu serta Mini Cooper merah serta barangan berjenama milik Sandra dilelong oleh Badan Pemulihan Aset Kejaksaan Agung (BPA Kejagung).
Kesemua barangan tersebut disita selepas pihak berkuasa tempatan menggeledah kediaman pasangan itu selepas kes rasuah tersebut terbongkar.
Menurut laporan Detik, sebanyak 84 beg berjenama mewah termasuk Hermes, Louis Vuitton, Chanel dan Christian Dior milik Sandra yang rata-rata bernilai puluhan ribu dilelong sejak 18 Mei lalu.
Selain itu, barangan kemas milik Sandra termasuk rantai emas 18 karat dengan berat 9,38 gram dan bertulisan 'Sandra' bertatah 44 butir berlian juga dilelong dan sedang menanti ‘tuan baharu’.
Turut dilelong adalah gelang emas 17 karat serta gelang silver dengan singkatan nama SDW.
Sebelum kegiatan jenayah Harvey terbongkar, pasangan tersebut memang terkenal dengan kehidupan mewah. Mereka malah melangsungkan perkahwinan di taman tema Disneyland di Tokyo, Jepun.