Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terus menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan mencatat lebih 1.09 juta syarikat atau 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.
Sumbangan sektor ini kekal signifikan apabila mencatatkan nilai RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024, mewakili hampir 48 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.
Advertisement
Namun, di sebalik peranan besar tersebut, PKS tempatan masih berdepan pelbagai cabaran asas yang menghalang potensi pertumbuhan mereka untuk menembusi pasaran lebih luas.
Lebih 70 peratus PKS kekal pada tahap mikro, manakala hampir 60 peratus PKS baharu dilaporkan gagal bertahan melepasi tempoh lima tahun operasi. Kebanyakan mereka masih bergantung kepada kaedah tradisional dengan akses terhad kepada teknologi moden dan strategi pembangunan jangka panjang.
Akibatnya, sumbangan PKS kepada eksport negara kekal rendah sekitar 10 hingga 12 peratus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh keupayaan dan daya saing sektor ini.
Bagi menangani isu berkenaan, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) tampil dengan inisiatif berimpak tinggi melalui ILTIZAM Catalyst, sebuah program pembangunan kapasiti yang direka khas untuk membantu PKS Bumiputera berpotensi tinggi memperkukuh asas operasi mereka.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, ILTIZAM Catalyst telah berjaya memperkasakan 57 syarikat Bumiputera di seluruh negara, membuktikan keberkesanan pendekatan berstruktur dalam membimbing usahawan membina ketahanan dan meningkatkan skala perniagaan mereka.
Tidak seperti program latihan konvensional, ILTIZAM Catalyst menekankan pendekatan bimbingan teknikal dan sokongan langsung oleh pakar industri mengikut keperluan unik setiap syarikat peserta.
Antara komponen utama yang ditawarkan termasuk:
- Pengurusan Kewangan & Pematuhan
- Penjenamaan & Pemasaran Digital
- Penggunaan Teknologi
- Pembangunan Kepimpinan
Menariknya, program ini ditawarkan secara percuma sepenuhnya dan tidak melibatkan bantuan kewangan tunai, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan kapasiti dan ilmu keusahawanan yang mampan.
Syarat kelayakan dan tarikh permohonan
PKS yang berminat untuk menyertai ILTIZAM Catalyst 2026 perlu memenuhi kriteria berikut:
- Syarikat milik Bumiputera (≥51%)
- Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta bagi dua tahun kewangan terkini
- Komited untuk melengkapkan keseluruhan tempoh program
Program ini terbuka kepada PKS dari seluruh Malaysia, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat dari kawasan kurang mendapat liputan seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
Tempoh permohonan dibuka dari 16 Oktober hingga 15 Disember 2025 menerusi laman web rasmi
🔗 iltizam-catalyst.ekuinas.com.my
Untuk maklumat lanjut, syarikat yang berminat boleh melayari laman web berkenaan atau menghubungi pihak urus setia ILTIZAM Catalyst.