Sekilas
- Didi Astillah jelaskan kejutan sambutan hari jadi ibunya bukan perkara baru dan pernah dilakukan sebelum ini.
- Dia memohon maaf jika ada pihak kurang selesa dan menjelaskan sambutan diadakan dalam bilik tertutup.
- Didi juga minta orang ramai bertenang dan tidak risaukan keadaan abang iparnya, Syed Saddiq.
Pelakon, Didi Astillah tampil perjelas isu kejutan (prank) sambutan hari jadi ibunya di sebuah restoran yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Didi menjelaskan bahawa ia bukanlah kali pertama dia membuat kejutan seperti itu, malah dia pernah memuat naik hantaran dengan taktik yang lebih kurang sama sebelum ini.
“Saya hormati dan faham semua orang ada pandangan masing-masing. Kepada mereka yang tidak tahu, ini bukanlah perkara yang baharu atau pertama kali saya buat.
“Mungkin pengikut saya yang dah lama mengikuti saya mesti pernah nampak saya buat macam ini. Saya pernah post dulu tetapi mungkin ketika itu kurang dapat perhatian sebab itu tak pernah dipersoalkan,”tulisnya.
Bagaimanapun, adik kepada penyanyi, Bella Astillah itu turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang selesa dengan perkongsian tersebut, selain menjelaskan bahawa sambutan tersebut sebenarnya diadakan secara tertutup.
“Apa pun, saya minta maaf kalau ada pihak yang kurang senang. Untuk pengetahuan kami dah tempah tempat itu dan ia dalam bilik tertutup (private room).
“Ada team member yang termuat naik tanpa sengaja tanpa tanya kami terlebih dahulu dan mereka pun sudah memohon maaf. Jadi, marilah semua move on dan jalani kehidupan kita,”katanya.
Dalam pada itu, Didi turut meminta orang ramai untuk bertenang dan tidak terlalu merisaukan mengenai keadaan bakal abang iparnya, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq.
“Abang Saddiq okay sahaja. Kan abang? Tenang sahaja ya kalian,”ujarnya.