Sekilas
- Pengarah Adrian Teh kembali dengan filem aksi terbaru berjudul Chelot yang mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang dalam Filem sepanjang 1.9 kilometer dan berdurasi 5 minit 19 saat.
- Babak aksi tersebut dirakam menggunakan satu kamera tanpa suntingan, hasil usaha kolektif pasukan produksi dengan sokongan Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
- Chelot akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada bulan Ogos, dengan teaser poster menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahaya sudah dilancarkan.
Nama pengarah Adrian Teh tidak asing dalam landskap perfileman tempatan, khususnya dalam genre aksi.
Menerusi karya-karya pecah panggung termasuk PASKAL: The Movie dan MALBATT: Misi Bakara, beliau sinonim dengan pendekatan pengarahan yang realistik dan berani mengambil risiko dari segi teknikal.
Bakal kembali dengan sebuah filem aksi bertajuk Chelot, ia telah pun mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records. Rekod itu dicipta menerusi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem (Longest Single-Take Action Sequence in a Movie). Ini adalah satu pencapaian yang jarang sekali dilakukan dalam industri perfileman tempatan kerana memerlukan ketepatan teknikal tinggi.
Babak tersebut dirakam menggunakan 1 kamera untuk adegan sejauh 1.9 kilometer, dan mengambil masa 5 minit 19 saat.
Chelot diterbitkan oleh ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment dan Marvelous Culture & Film. Poster teaser yang menampilkan Beto Kusyairy dan Shukri Yahaya baru saja dilancarkan.
Menurut Adrian Teh, kemunculannya semula dalam genre aksi menerusi filem terbaharu, Chelot, bukan sekadar mengulangi formula yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Katanya lagi, selepas mengarahkan MALBATT: Misi Bakara pada 2022, dia sengaja mengambil langkah untuk berehat seketika daripada genre aksi bagi memberi ruang kepada dirinya meneroka bentuk penceritaan dan genre yang berbeza.
“Selepas mengarahkan MALBATT: Misi Bakara pada 2022, saya memilih untuk berundur seketika daripada dunia aksi bagi memberi ruang dalam meneroka genre serta penceritaan berbeza, baik sebagai pengarah mahupun penerbit.
“Namun, kepulangan ini bukan sekadar untuk kembali ke genre yang sama, tetapi saya mahu kembali dengan sesuatu yang benar-benar segar, sesuatu yang belum pernah disaksikan dalam sinema Malaysia.
“Perancangan dan persediaan untuk babak tanpa suntingan (1 shot 1 take) tersebut mengambil masa berbulan-bulan kerana memerlukan pelaksanaan yang sangat teliti pada hari penggambaran. Pencapaian ini bukan kejayaan individu, tetapi hasil usaha kolektif seluruh pasukan produksi, yang direalisasikan dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Kami yakin ramai yang tertanya apa itu Chelot? Semuanya akan terjawab pada bulan Ogos hadapan di pawagam seluruh tanah air,” katanya.
Nantikan filem aksi Chelot yang akan berada di pawagam tahun ini.
Gunakan #CHELOT di media sosial dan ikuti perkembangan terbaru serta klip menarik di akaun media sosial ACT 2 Pictures, GSC Movies, Astro Shaw.
A post shared by ACT 2 PICTURES SDN BHD 再来一个电影有限公司 (@act2pictures)