Sekilas
- Jaslinda Saludin ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di Gunung Batu Putih, Perak, namun mengalami kecederaan fizikal dan penurunan berat badan hampir 10 kilogram.
- Pakar dietetik menegaskan risiko komplikasi serius seperti refeeding syndrome (RFS) ketika proses pemulihan nutrisi selepas tempoh kebuluran lama.
- Proses pemulihan Jaslinda perlu dipantau rapi dan dilakukan secara berperingkat untuk mengelakkan komplikasi kesihatan yang boleh mengancam nyawa.
Keadaan pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Perak terus mendapat perhatian ramai.
Selain kecederaan fizikal dan penurunan berat badan hampir 10 kilogram, pakar turut mengingatkan tentang satu komplikasi kesihatan serius yang boleh berlaku ketika proses pemulihan dikenali sebagai refeeding syndrome (RFS).
Menurut Pegawai Dietetik, Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah, individu yang mengalami kebuluran atau kekurangan nutrisi dalam tempoh lama berisiko mengalami RFS apabila makanan diperkenalkan semula secara terlalu cepat.
“Menurut amalan berasaskan bukti, kebimbangan utama selepas seseorang mengalami kebuluran berpanjangan bukan sekadar kekurangan zat makanan tetapi risiko RFS.
“RFS berlaku apabila pengambilan tenaga, khususnya karbohidrat diperkenalkan semula selepas tempoh kelaparan lama, menyebabkan mineral penting seperti fosfat, kalium dan magnesium berpindah secara mendadak dari darah ke dalam sel,” katanya.

Beliau menjelaskan keadaan itu boleh mengakibatkan komplikasi serius termasuk gangguan irama jantung, kegagalan pernafasan, kekeliruan, sawan dan dalam kes tertentu boleh mengancam nyawa jika tidak dipantau dengan teliti.
Sebelum ini, Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim memaklumkan Jaslinda menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari sekiranya tiada komplikasi kesihatan. Beliau juga dilaporkan boleh makan, bercakap serta berkomunikasi seperti biasa.
Untuk rekod, Jaslinda ditemukan selamat pada 7 Jun lalu oleh komuniti Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman sejak 23 Mei.
Walaupun keadaan Jaslinda semakin stabil, pakar menegaskan proses pemulihan nutrisi perlu dilakukan secara berperingkat dan dipantau rapi bagi mengelakkan risiko komplikasi seperti RFS.
Sumber: BH