Skip to main content

Cabar Diri Jadi Penerbit, Aedy Ashraf Nafi Beri Bayangan Mahu ‘Pencen’ Berlakon - “Mustahil Untuk Saya Berhenti”

Astro Gempak 287

Sekilas

  • Aedy Ashraf kini berani mencuba sebagai penerbit filem menerusi projek TARUNG: Unforgiven selepas lebih 20 tahun bergelar pelakon.
  • Dia mahu cabar diri sendiri dan memberi inspirasi kepada bakat lain dalam industri dengan menghasilkan filem yang berkualiti.
  • Filem aksi TARUNG: Unforgiven akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei 2026, menampilkan barisan pelakon popular termasuk Aedy sendiri.

Pelakon Aedy Ashraf mengakui langkah berani tampil sebagai penerbit filem menerusi TARUNG: Unforgiven lahir daripada keinginannya untuk mencabar diri selepas sekian lama bergelar pelakon.


Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, dia mahu melakukan sesuatu yang belum pernah dicuba sepanjang lebih dua dekad berada dalam industri seni.

“Boleh dikatakan dah agak lama juga saya dalam industri sebagai pelakon. Jadi saya nak buat sesuatu yang saya rasa saya belum pernah buat iaitu menerbit.

“Saya belum pernah buat sebelum ini, cuma pernah terbit sedikit iklan komersial sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon utama filem TARUNG: Unforgiven di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada Sabtu.

Tambah Aedy, pada awalnya dia menyimpan impian untuk menjadi pengarah, namun selepas mendalami bidang penerbitan dia menyedari tanggungjawab seorang penerbit sebenarnya jauh lebih besar.

“Saya memang sentiasa mahu menjadi seorang pengarah, tetapi bila saya menceburi bidang penerbitan ini saya sedar skopnya jauh lebih besar.

“Tanggungjawab penerbit melibatkan keseluruhan proses daripada awal sampai ke penghujung, bukan sekadar bahagian kreatif sahaja,” ujarnya.

Menurutnya lagi, keputusan tersebut juga didorong keinginannya untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa dia mampu menghasilkan filem selain memberi inspirasi kepada bakat-bakat lain dalam industri.

“Saya cuma mahu cabar diri sendiri dan buktikan yang saya sebenarnya boleh lakukan benda itu.

“Kalau saya boleh buat filem sebegini, kenapa orang lain tak boleh buat? Saya rasa ramai lagi orang berbakat di luar sana, cuma mungkin mereka belum ada peluang,” katanya.

Dalam masa sama, Aedy menegaskan langkah menjadi penerbit tidak bermakna dia akan meninggalkan dunia lakonan yang sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

“Berlakon masih lagi cinta pertama saya. Mustahil untuk saya berhenti berlakon.

“Tapi bila saya ada idea dan ada pasukan yang solid, saya boleh terus ajak mereka hasilkan filem itu. Kalau saya yang buat, mestilah saya berlakon sekali,” katanya sambil ketawa.

Menerusi perkembangan lain, Aedy bakal tampil sebagai penerbit selain memegang watak utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.

Selain Aedy, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.

TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

SHEGLAM Pore Face Primer Poreless Oil-Control

SHEGLAM Pore Face Primer Poreless Oil-Control

Must-Watch Video

Advertisement