Sekilas
- Seorang datuk berusia 75 tahun menghubungi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melaporkan masalah ketagihan dadah yang dialami cucunya berusia 29 tahun.
- Datuk tersebut risau cucunya yang sudah beberapa kali ditahan dan menjalani pusat pemulihan mula berhalusinasi dan berkelakuan luar kawalan.
- Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah berkenan melawat datuk itu bagi memberi sokongan selepas berita mengenai kejadian tersebut tular.
Seorang warga emas yang bergelar datuk nekad menghubungi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melaporkan mengenai masalah ketagihan bahan terlarang yang dialami cucunya.
Menurut Md Akhir Hanafiah, 75, tindakan itu dibuat kerana khuatir cucunya yang berusia 29 tahun itu akan melakukan perkara di luar kawalan kepadanya dan isteri.
Tambah Akhir lagi, dia juga terlalu sayang akan cucunya dan disebabkan itulah dia hanya membiarkan saja cucunya ditahan pegawai AADK pada Khamis.
“Pak cik sayang dia sebab dia cucu sulung dalam keluarga. Jaga dia sejak kecil tapi akhirnya dia dah rosak akibat terjebak dengan dadah.
"Dah lama pak cik tahan sabar walaupun dia banyak kali kena tahan, masuk penjara dan pusat pemulihan, tapi pak cik terima.
“Tapi lepas dia mula berhalusinasi, cakap seorang diri, pak cik terpaksa hubungi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tolonglah macam mana pun buat dia (cucu) kena tangkap," katanya.
Tambah Md Akhir, dia sempat menitipkan pesan kepada cucunya itu untuk berubah dan berkelakuan baik jika mahu berjumpa lagi dengannya dan isteri di masa akan datang.
"Pak cik sempat nasihatkan dia supaya berubah ..'kalau hang nak jumpa tok wan dengan tok, hang buat bagi elok..Takut tokwan mati dulu, hang tak sempat jumpa'...dia diam saja.
"Kami dah jaga dia dengan baik tetapi dia terpengaruh dengan kawan-kawan hingga jadi penagih dadah. Barangan dalam rumah jangan cerita la, apa yang ada dia curi dan jual sebab nak beli dadah.
"Kalau dia tahu pak cik nak pergi bank tekan duit, dia akan ikut dari belakang tetapi dia hanya minta RM10. Pak cik bimbang sebab dia dah mula berhalusinasi, takut dia buat apa-apa yang buruk pada kami, pak cik terpaksa buat laporan polis,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan berita mengenai seorang datuk terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa untuk menangkap cucunya di rumah hanya kerana tidak sanggup melihat cucunya terus terjebak dengan dadah.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehudin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff kemudiannya berkenan berangkat ke rumah Md Akhir dan menzahirkan rasa simpati terhadap warga emas itu dan memberi semangat kepadanya.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dan Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak.
Sumber: Harian Metro