Seorang mahasiswi berusia 21 tahun menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri kerana tidak tahan menerima amang seksual daripada seorang pensyarah di universitinya.
Dikenali SM, mahasiswi Fakultas Ilmu Pendidikan dan Psikologi (FIPP), Universitas Negeri Manado (Unima) itu maut selepas menggantung diri di kediamannya di Kabupaten Tomohon, Sulawesi Utara, pada 30 Disember lalu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, EM meninggalkan surat yang berisi informasi tentang insiden yang menimpa dirinya sebelum ini, lapor CNNIndonesia.
Mangsa antaranya menulis nama seorang pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya termasuk fakulti, nombor telefon dan emel pelaku.
Sementara polis masih menjalankan siasatan, pihak universiti menerusi kenyataan rasmi memaklumkan pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap mangsa telah digantung tugas buat sementara.
Pihak Unima dengan tegas menyatakan tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku dan disiplin demi menjaga nama baik institusi pendidikan tinggi.