Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa simpatinya terhadap nasib yang menimpa bintang Talk To My Manager, Ahmad Dayyan ketika sedang beraksi di pentas akhir program berkenaan.
Menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya, Aisha tidak menyangka Ahmad telah melalui perkara yang hampir sama sepertinya.
Advertisement
"Kepada Amad, 'get well soon'. Nak nangis juga bila dengar kondisi Amad semalam. Perkara yang sama terjadi pada Aisha. Semoga diberikan kesembuhan secepatnya dan diangkat penyakit dari penyanyi yang berbakat ini," katanya.
Dalam masa sama, Aisha turut memandang perkara tersebut ke arah positif kerana baginya ia merupakan pengalaman berharga apabila ditemani rakan-rakan serta keluarga di saat-saat genting.
"Pengakhiran yang tidak baik untuk tamatkan persembahan tapi pastinya sebuah pengalaman yang amat berharga. Sayang semua yang temani saya sepanjang dalam ambulans sementara saya kelihatan amat teruk," ujarnya.
Terdahulu, Aisha Retno memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil selepas berdepan dengan serangan panik ketika berada di program Talk To My Manager (TTMM) pada Ahad.
Sekadar info, Ahmad menyorot perhatian apabila tiba-tiba pengsan sejurus selepas melakukan persembahan terakhir bersama penyanyi Nadeera Zaini.