Kontroversi rumah tangga dengan isteri iaitu Uqasha Senrose sememangnya memberi impak terhadap emosi pelakon Kamal Adli.
Menurut Kamal atau nama lengkapnya, Kamal Ahmad Adli berkata situasi berkenaan tidak mudah buat dirinya dan kehadirannya ke mahkamah bukan untuk mencari salah sesiapa, sebaliknya berniat untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina bersama Uqasha.
Advertisement
“Benda (konflik) ni betul-betul bagi impak pada perasaan saya sekarang ni bila ada kat bilik tu tadi. Saya rasa tak ‘best’ langsung.
“Saya nak bagi tahu yang saya dekat sini sebab saya nak selamatkan rumah tangga saya. Saya sayangkan isteri saya sangat-sangat. Saya sayang anak saya. Saya tak nak apa-apa jadi sebenarnya.
“Apa yang jadi hari ini, kenapa saya ada kat sini, saya letak semua ni atas salah saya sendiri,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, Kamal juga meminta orang ramai untuk tidak meninggalkan komen negatif terhadap isterinya.
Malah, pelakon Dia Imamku itu turut menyeru agar netizen hanya menyebarkan perkara positif tentang isterinya di media sosial.
“Saya mohon sangat pada semua orang, tolong jangan tulis apa-apa yang tak elok pada isteri saya.
“Dia penat kerja, dia stres, dan saya faham benda tu. Terlalu berat sebenarnya untuk dia dan untuk saya nak hadap semua ni. Kalau nak kutuk, kutuk saya aje. Jangan streskan dia. Tolong ya.
“Kalau nak tulis dekat media sosial pun, tulislah yang manis-manis saja. Jangan tambah tekanan pada dia. Saya mohon sangat,” ujarnya.
Aktor itu turut memohon maaf kepada isterinya serta keluarga mentua atas segala kesilapan yang berlaku dalam hubungan mereka.
Kes perceraian membabitkan pasangan ini ditangguhkan ke 19 November depan selepas Uqasha gagal hadir bersama peguam bagi meneruskan prosiding.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.