Sekilas
- Seorang lelaki bernama Qin berjaya diselamatkan selepas tujuh hari terapung di laut selepas dihanyutkan ombak besar ketika berjalan di pantai di Haikou.
- Qin terpaksa memakan kira-kira 80 ekor ketam kecil mentah untuk bertahan hidup dan mengalami halusinasi akibat keletihan, kelaparan, dan dehidrasi.
- Dua nelayan tempatan menemui Qin dalam keadaan lemah dan membawanya ke hospital, di mana dia kini stabil selepas rawatan intensif.
Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas tujuh hari terapung di tengah laut selepas dihanyutkan ombak besar ketika bersiar-siar di pantai.
Lelaki yang dikenali sebagai Qin itu diselamatkan oleh dua nelayan di daerah Chengmai, wilayah Hainan selepas melalui pengalaman yang hampir meragut nyawanya.
Memetik laporan South China Morning Post, insiden tersebut bermula ketika Qin sedang berjalan di sebuah pantai di Haikou.
Ketika itu, ombak besar secara tiba-tiba menghanyutkannya ke tengah laut.
Qin mengakui dia tidak pernah berenang di laut sebelum ini dan tidak membawa sebarang peralatan keselamatan ketika kejadian berlaku.
Lebih memburukkan keadaan, telefon bimbitnya hilang ketika dihanyutkan ombak menyebabkan dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk meminta bantuan.
Dalam usaha untuk terus terapung, Qin menanggalkan seluar, kasut, jam tangan dan cincin bagi mengurangkan beban pada tubuhnya.
Keesokan harinya, dia menemui sebuah pelampung dan berjaya memanjatnya sebelum menjadikannya tempat berlindung sepanjang tempoh dia terdampar di laut.
Pada masa sama, sepanjang di lautan Qin difahamkan terpaksa memakan kira-kira 80 ekor ketam kecil mentah yang ditemuinya kerana mula mengalami kelaparan yang melampau.
Malah keadaan fizikal dan mentalnya turut merosot sehingga dia mengalami halusinasi akibat keletihan, kelaparan dan dehidrasi yang serius.
Nasib akhirnya menyebelahinya apabila dua nelayan tempatan, Zheng Shizhong dan Fu Tingsan menemui Qin yang ketika itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Dua nelayan itu kemudian membawa Qin ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ereka mendapati terdapat banyak luka pada badan Qin yang sudah bernanah akibat terlalu lama terdedah kepada cahaya matahari.
Sementara itu, doktor dari Hospital Rakyat Daerah Chengmai, Chen Boyi memaklumkan Qin kini berada dalam keadaan stabil selepas beberapa hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, Qin mengalami dehidrasi yang serius selain mengalami kerosakan pada kulit akibat terlalu lama berada di bawah terik matahari.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati sistem pencernaannya mengalami keradangan, dipercayai berpunca daripada pengambilan ketam mentah sepanjang tempoh dia terdampar di laut.
“Namun jika dia tidak memakan ketam-ketam tersebut, berkemungkinan besar dia tidak akan dapat terus hidup,” jelas doktor berkenaan.
Sumber: South China Morning Post