Sekilas
- Mek Yun meluahkan rasa geram melihat ibu bapa yang masih guna kaedah gentle parenting walaupun anak-anak degil.
- Dia berkongsi pengalaman dibesarkan dengan didikan tegas yang melibatkan rotan dan tampar, yang dianggapnya membentuk dirinya jadi lebih bertanggungjawab dan beradab.
- Perkongsian Mek Yun mendapat sokongan ramai netizen yang percaya didikan tegas lebih berkesan untuk mendisiplinkan anak.
Pempengaruh, Mek Yun meluahkan rasa geram selepas melihat ada segelintir ibu bapa yang masih menggunakan kaedah ‘gentle parenting’ meskipun anak-anak mereka masih tidak mendengar arahan.
Menerusi perkongsian di Threads, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee mengimbau kembali momen dibesarkan ibu bapanya ketika kecil yang amat tegas dengan dirinya dan adik-beradik.
“Saya geram tak boleh lihat ibu bapa yang menggunakan kaedah gentle parenting tetapi anak masih berdegil.
“Teringat dahulu, saya dan abang-abang dibesarkan dengan cara yang tegas. Kalau melawan cakap,tinggikan suara atau buat salah. Memang siaplah kena rotan, tampar dan hanger semua. Kelakar bila teringat balik,”tulisnya.
Bagaimanapun Mek Yun bersyukur kerana ibu bapanya telah membesarkan dirinya dengan cara tersebut kerana berpendapat didikan tersebut telah membentuk dirinya menjadi manusia yang lebih baik.
“Tetapi saya bersyukur sebab didikan itulah yang menjadikan saya dan abang-abang menjadi ‘orang’ beradab, hormat orang tua dan bertanggungjawab. Saya bersyukur saya ada ibu bapa yang tegas dahulu,”ujarnya.
Perkongsian tersebut telah meraih perhatian ramai dengan rata-rata netizen menyokong kenyataan Mekyun dan berpandangan didikan tegas mampu mendisiplikan anak-anak.