Skip to main content

LRT Shah Alam Mula Operasi Esok, Tambang Secara Percuma Selama Sebulan

IMG 6519

Sekilas

  • Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam akan ditawarkan secara percuma dari 29 Jun hingga 31 Julai untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
  • Laluan sepanjang 37.8 km dengan 20 stesen ini menyediakan kemudahan Park and Ride di enam stesen utama bagi memudahkan pengguna.
  • Kerajaan merancang pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) dan penerimaan pas My50 bermula 1 Ogos untuk meningkatkan akses dan penggunaan pengangkutan awam.

Orang ramai boleh menikmati perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam secara percuma selama sebulan bermula esok hingga 31 Julai sebagai usaha menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri pengalaman menggunakan laluan baharu berkenaan yang mula beroperasi esok.

“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Laluan Shah Alam akan dibuka kepada orang ramai mulai esok, 29 Jun, jam 6 pagi.

"Bermula esok hingga 31 Julai, perkhidmatan ini adalah percuma kepada orang ramai supaya mereka dapat merasai dan menikmati penggunaan Laluan Shah Alam,” kata Loke.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu merangkumi 20 stesen dan dikendalikan menggunakan 22 tren tiga gerabak dengan kapasiti 624 penumpang bagi setiap tren.

Perkhidmatan beroperasi pada kekerapan 7.5 minit pada waktu puncak dan 10 minit pada waktu luar puncak, dengan sasaran 60,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi.

“Kita berharap jumlah penumpang dapat mencecah 60,000 orang sehari pada tahun pertama dan akan terus meningkat.

"Apabila jumlah pengguna bertambah, kita akan melihat keperluan untuk menambah kapasiti serta set tren pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata kemudahan Park and Ride turut disediakan di enam stesen iaitu Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Klang, Seri Andalas, Bandar Botanic dan Johan Setia bagi memudahkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, kerajaan turut merancang lima stesen tambahan, iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanic, bagi memperluaskan liputan Laluan Shah Alam serta meningkatkan akses penduduk kepada rangkaian rel pada masa hadapan.

Dalam masa sama, Loke berkata kerajaan sedang meneliti pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) di beberapa kawasan strategik yang mempunyai tapak Park and Ride yang luas.

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Seri Andalas, Kayu Ara, Johan Setia dan Bandar Bukit Tinggi.

Menurut beliau, kawasan parkir sedia ada berpotensi dibangunkan secara bersepadu dengan pembinaan perumahan mampu milik, ruang komersial dan kemudahan awam, sambil mengekalkan fungsi parkir.

Pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan, malah membolehkan lebih ramai penduduk tinggal berhampiran stesen dan berjalan kaki terus ke pengangkutan awam.

“Hasrat kerajaan adalah untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).

"Kita mahu lebih banyak rumah mampu milik dibina berhampiran stesen supaya penduduk boleh berjalan kaki terus ke stesen dan menggunakan pengangkutan awam,” kata Loke.

Beliau berkata pendekatan TOD itu juga mampu menjana pulangan kepada kerajaan melalui kerjasama dengan sektor swasta, selain menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Loke dalam pada itu turut mengumumkan pas My50 akan diterima di Laluan Shah Alam bermula 1 Ogos sebaik sahaja tempoh tambang percuma berakhir.

“Mulai 1 Ogos, pengguna pas My50 juga boleh menggunakan Laluan Shah Alam sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam.”

Beliau berkata pelaksanaan tambang percuma, peluasan rangkaian stesen, pembangunan TOD dan penyepaduan pas perjalanan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta memberi manfaat kepada penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Sumber: Astro AWANI



 

Anda mungkin berminat dengan

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

Must Watch Video

Advertisement