Sekilas
- Yonnyboii kongsi bahawa hubungan suami isteri perlukan usaha berterusan untuk kekal bahagia walaupun sibuk dengan kerjaya seni.
- Dia dan isteri sentiasa luangkan masa berkualiti bersama, termasuk keluar dating sekurang-kurangnya sekali seminggu.
- Tahun pertama bergelar ibu bapa adalah fasa paling mencabar, namun pengalaman itu mengajar pentingnya terus menyuburkan kasih sayang dalam rumah tangga.
Penyanyi dan komposer, Yonnyboii berkongsi realiti kehidupan berumah tangga apabila mengakui hubungan suami isteri memerlukan usaha yang berterusan untuk terus kekal bahagia.
Menurut Yonnyboii, walaupun sibuk dengan kerjaya seni, dia sentiasa berusaha meluangkan masa berkualiti bersama anak dan isteri, termasuk menetapkan rutin keluar berdua sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.
“Saya rasa kita faham apa yang kita buat takkan pernah cukup buat anak kita, tapi walau saya sibuk macam mana pun saya cuba cari masa untuk dia.
“Saya juga cuba luangkan masa untuk isteri saya. Kami akan pergi dating sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Kerana selagi kami ada masa untuk satu sama lain, semuanya akan okay,” katanya.
Pelantun lagu Tak Sangka itu mengakui fasa tahun pertama bergelar ibu bapa merupakan tempoh yang paling mencabar buat dirinya dan isteri kerana masing-masing masih menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu.
“Saya akui pada tahun pertama, ia adalah masa yang agak tertekan buat kami. Ketika kami dikurniakan anak, sukar untuk kami memahami satu sama lain.
“Pernah juga dia katakan saya pentingkan anak, sebab saya ingat kalau kita mengambil tanggungjawab menjaga anak, itu sudah cukup,” ujarnya.
Bagaimanapun, pengalaman itu banyak mengajarnya tentang kepentingan untuk terus menyuburkan kasih sayang dalam rumah tangga.
“Tapi lama-kelamaan, saya baru faham rupanya kita kena sentiasa cari ‘spark’ dalam hubungan. Kalau tak, cinta itu akan pudar.
“Kita ingatkan bila sudah berkahwin, hubungan itu akan kekal selamanya, tapi tidak. Selepas kahwin, lagi banyak usaha yang perlu kita letak sebenarnya,” katanya.