Sekilas
- Yonnyboii cipta lagu Dia kerana rindu anak lelakinya yang dijaga keluarga mentua ketika dia sibuk dengan kerjaya seni.
- Lagu tersebut diberikan kepada kumpulan ALPHA untuk disampaikan kerana Yonnyboii percaya mereka boleh hayati mesej dalam lagu itu.
- Dia termasuk dalam album sulung ALPHA, The First Wave, yang turut menampilkan beberapa lagu baharu lain.
Penyanyi dan komposer, Yonnyboii mendedahkan lagu Dia yang dimuatkan dalam album sulung kumpulan ALPHA, The First Wave, lahir daripada rasa rindu terhadap anak lelakinya ketika dia sibuk dengan komitmen kerjaya.
Menurut Yonnyboii, kesibukan sebagai anak seni menyebabkan dia terpaksa menyerahkan anaknya kepada keluarga mentua untuk dijaga buat sementara waktu.
“Saya buat lagu itu ketika saya merindui anak saya sebab bila saya sibuk, saya banyak hantar anak saya ke keluarga isteri saya.
“Kadang-kadang seminggu saya hantar, jadi keluarganya banyak membantu menjaga anak saya,” katanya kepada Gempak.
Walaupun mengakui Dia merupakan karya yang cukup dekat di hatinya, Yonnyboii memilih untuk menyerahkan lagu tersebut kepada ALPHA kerana percaya mereka mampu menyampaikan mesej yang ingin disampaikan.
“Saya berikan lagu itu kepada mereka sebab mereka Alpha, dan saya rasa mereka juga boleh rasa apa yang saya tulis.
“Ia bukan hanya untuk anak, tetapi juga boleh dikaitkan dengan kisah hidup masing-masing, malah boleh juga ditujukan kepada peminat,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu Sakit itu, dia tidak kisah sekiranya lagu tersebut tidak diterbitkan menggunakan namanya, asalkan karya berkenaan dapat didengari oleh orang ramai.
“Saya sebenarnya sayang lagu itu, tetapi lagi sayang kalau saya tak dapat keluarkan lagu itu.
“Mungkin bukan rezeki untuk menggunakan jenama saya. Jadi bila ada orang yang menyanyikannya, sekurang-kurangnya lagu itu tetap sampai kepada pendengar,” katanya.
Dalam masa sama, Yonnyboii berharap peminat ALPHA dapat menghayati setiap bait lirik yang ditulis serta merasai emosi yang cuba disampaikan menerusi lagu tersebut.
“Saya harap peminat Alpha dapat rasakan apa yang saya tulis menerusi lagu itu,” tambahnya.
Untuk rekod, Dia merupakan antara lagu yang dimuatkan dalam album studio penuh sulung Alpha berjudul The First Wave.
Selain Dia, album tersebut turut menampilkan beberapa lagu baharu seperti Mahkota Cinta, Haru Biru, Gelato dan Burn It Down.