Sekilas
- Penyanyi Afieq Syazwan menerima pujian peribadi daripada Perdana Menteri Bangladesh selepas persembahan lagu dalam bahasa Bengali sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.
- Afieq berkongsi rasa syukur kerana sebutan bahasa Bengali yang tepat mendapat perhatian dan pujian, termasuk dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Persembahan tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat yang bangga dengan pencapaian Afieq dalam menyampaikan lagu bahasa asing dengan baik.
Penyanyi Afieq Shazwan meluahkan rasa syukur apabila menerima pujian secara peribadi daripada Perdana Menteri Bangladesh selepas membuat persembahan sempena lawatan rasmi pemimpin negara itu ke Malaysia.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, dia tidak menyangka sebutan bahasa Bengali yang dipersembahkan mendapat perhatian sehingga dipanggil sendiri oleh Perdana Menteri Bangladesh.
“Tak sangka lepas perform saya dipanggil dan diberi pujian oleh Perdana Menteri Bangladesh sendiri kerana sebutan bahasa Bengali yang tepat, turut diiringi oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, satu cabaran baharu dan usaha yang berbaloi,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai ucapan tahniah daripada peminat yang berbangga dengan pencapaian penyanyi berusia 28 tahun itu kerana berjaya mempersembahkan lagu dalam bahasa asing dengan baik.
Terdahulu, Afieq berkongsi menerima jemputan khas untuk membuat persembahan sebuah lagu dalam bahasa Bengali sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman di Istana Budaya.