Sekilas
- Hairul Azreen tetap dengan keputusan untuk tidak kembali berlakon dan kini fokus pada kehidupan serta perniagaan bersama isteri, Hanis Zalikha.
- Dia bangga pendekatan latihan intensif sebelum penggambaran yang pernah diperkenalkan kini menjadi amalan biasa dalam industri filem aksi tempatan.
- Hairul percaya perubahan ini membantu meningkatkan mutu filem aksi Malaysia dan menyifatkan masa lakonannya sudah berakhir.
Pelakon, Hairul Azreen masih kekal dengan pendiriannya untuk tidak kembali aktif berlakon meskipun industri filem aksi tempatan kini dilihat semakin berkembang dengan baik.
Menurut Hairul, dia selesa dengan kehidupan yang sedang dijalani selain bersyukur dengan segala rezeki yang dikurniakan kepadanya.
“Saya tiada perancangan untuk kembali ke dunia lakonan. Ketika ini, saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang sedang saya buat.
“Saya tidak akan berlakon lagi,” katanya kepada Gempak.
Hairul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 jenama fesyen Cakenis, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, pemilik nama Hairul Azreen Idris ini meluahkan rasa bangga apabila pendekatan latihan intensif sebelum penggambaran yang pernah dilakukannya sebelum ini kini mula diamalkan ramai penerbit dan pengarah.
“Apa yang saya nampak, ketika ini, ramai penerbit dan pengarah yang menghasilkan filem aksi. Saya sangat seronok bila melihat perkara yang saya tinggalkan dahulu, kini sudah mula menjadi ikutan.
“Sebelum memulakan penggambaran, mereka akan adakan latihan intensif. Kini, baru orang faham dan ikut. Pada saya, untuk memulakan sesuatu yang positif di dalam industri, kena ada orang yang memulakan.
“Bila saya mulakan trend latihan dan buat badan dahulu sebelum memulakan penggambaran, barulah kita nampak seperti Hollywood,” katanya lagi.
Tambah suami kepada pelakon dan ushawan Hanis Zalikha itu lagi, perubahan itu secara tidak langsung membantu meningkatkan mutu filem aksi tempatan.
“Sebelum ini, bila masuk ke set, barulah nak mula koreograf gerak dan babak pertarungan. Pelakon-pelakon sekarang memang fit dan badan cantik. Masuk dalam set pun dah tahu koreografi masing-masing.
“Sepatutnya perkara-perkara seperti ini sudah lama dilakukan. Kini, barulah orang nampak sebabnya. Dahulu pun saya bertanya, kenapa perlu beriya sampai patah riuk dan penat?
“Kini, semua orang faham kenapa saya sanggup buat seperti itu dahulu. Namun, kini masa saya sudah habis,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Hairul mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia lakonan pada tahun 2023 bagi memberi lebih fokus terhadap keluarga.
Kini, dia dan Hanis aktif menguruskan jenama Cakenis yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya.